Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM TUAN MUFTI, SAYA INGIN BERTANYA TENTANG ,BOLEHKAN KITA MENGAMALKAN BACAAN "YASSIN TUGGAL"...AMALAN INI DI CIPTA OLE HABIB ABDULLAH BIN AL-ALAWI AL HADAD...CARANYA...BACA SURAH YASSIN SATU KALI..TETAPI ADA AYAT TERTENTU DALAM SURAH YASSIN ITU DIULANG BEBERAPA KALI,DAN BILANGAN ULANGAN ITU TELAH DITETAPKAN..(CONTOH AYAT KE 16 DLM SURAH YASSIN DIULANG BACA 7 KALI)...IANYA DIPERCAYAI MEMPUNYAI FADILAT SAMA SEPERTI MEMBACA SURA YASSIN SEBANYAK 41 KALI..DAN DIGUNAKAN UNTUK MEMINTA HAJAT...BIASANYA YANG BAIK-BAIKLA SEPERTI MAJU DALAM PERNIAGAAN DAN SEBAGAINYA.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Surah Yasin merupakan surah yang ke-36 mengikut susunan surah dalam al-Qur’an, surah ini diturunkan sesudah surah al-Jin dan diturunkan di Makkah, iaitu sebelum penghijrahan nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Madinah. Setiap muslim dituntut untuk membaca al-Qur’an bagi mendapatkan ganjaran pahala dan syafaat daripadanya di akhirat kelak. Terdapat banyak fadhilat membaca al-Quran termasuk surah Yasin, antaranya adalah seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud RA, sabda Nabi SAW:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya: Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur’an, maka akan diberikannya kebaikan, dan setiap kebaikan digandakan sepuluh pahala baginya, aku tidak berkata alif lam mim satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat al-Tirmizi).
Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Jundub RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya. (Riwayat Ibn Hibban).
Berkaitan amalan "Yassin Tunggal" seperti pengulangan ayat 16 Surah Yassin sebanyak 7 kali yang dikatakan memiliki ganjaran seumpama membaca 41 kali al-Qur’an, semakan mendapati tidak terdapat dalil daripada al-Quran dan hadis yang boleh dijadikan sandaran pengamalan dan kelebihan tersebut. Namun pengulangan sesuatu ayat al-Quran harus untuk diamalkan dengan niat mengambil keberkatan dan menghayati maksud sesuatu ayat tanpa terikat dengan kepercayaan lain. Adapun berkaitan memohon hajat dengan kaedah bacaan Yasin yang dinyatakan di atas, ia berkemungkinan hasil tajribah atau pengalaman Habib Abdullah Bin Al-Alawi Al-Hadad yang boleh untuk diamalkan dengan iktikad bahawa yang menentukan sesuatu kebaikan dan keburukan hanyalah Allah SWT dan ia bukanlah suatu yang disandarkan kepada sumber atau dalil syarak.
والله أعلم بالصواب