BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ada menceraikan isteri pada 20.2.2021 dengan talak 1. Selepas itu, kami masih duduk bersama dan kami ada melakukan jimak. Adakah dikira kami sudah rujuk walaupun tiada lafaz rujuk dari saya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Para ulama mazhab Syafi'i berpendapat bahawa tidak sah perbuatan rujuk seorang lelaki melainkan hanya dengan perkataan atau lafaz. Sekiranya dengan perbuatan seperti seorang suami itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah, ia tidak dikira sebagai rujuk. Maka tidak sah rujuk menerusi perbuatan yang melibatkan berpelukan, menyentuh, dan sebagainya selama mana seseorang itu mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.

Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab: Tidak sah merujuk melainkan dengan ucapan. Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai rujuk. Oleh itu, tidak sah rujuk dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.

Kemudian beliau berkata lagi :

فأما إذا وطئها أو قبلها أو لمسها فلا يكون ذلك رجعة، سواء نوى به الرجعة أو لم ينو

Maksudnya: Sekiranya seseorang lelaki itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah raj’ie, menciumnya, atau menyentuhnya, maka yang demikian itu tidak berlaku padanya rujuk. Sama ada dia melakukannya dengan niat rujuk atau pun tidak.

Berdasarkan peruntukan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 132. Persetubuhan luar nikah antara orang yang bercerai :
(1) Seseorang lelaki yang, setelah menceraikan dengan sah isterinya, bersekedudukan semula dengannya tanpa terlebih dahulu melafazkan rujuk yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 275

message user image