BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Ketika melalui iddah disebabkan kematian suami, adakah balu boleh keluar rumah untuk menghadiri kelas al-Quran? Balu berusia 75 tahun dan boleh menjaga adab.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, bagi seorang balu yang berada dalam iddah kematian pada asasnya dibenarkan untuk keluar jika terdapat keadaan yang mendesak atau darurat. Oleh itu, adalah tidak dibenarkan untuk keluar menghadiri kelas Al-Quran semata-mata kerana ia bukanlah suatu keadaan yang darurat untuk dia belajar mengaji. Walau bagaimanapun, seandainya tujuan daripada pergi mengaji itu untuk menghilangkan rasa kesunyian atau kesedihan, maka ia dibenarkan. 

Keharusan ini berdasarkan kisah balu-balu yang gugur syahid dalam peperangan Uhud yang diriwayatkan oleh Mujahid. Balu-balu ini datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda :

تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها

Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi).

Berdasarkan hadith ini, wanita yang dalam ihdad dan ‘iddah tidak boleh bermalam di rumah orang lain dan tidak boleh keluar rumah pada waktu malam kecuali jika darurat (terpaksa).

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 189

message user image