Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SERTU
Assalamu'alaikum saya ucapkan kepada ahli panel. Sebelum saya mengajukan soalan, izinkan saya menceritakan situasi yang saya alami.
Dalam 6-7 tahun sebelum ini, saya ada pergi ke kawasan perkuburan. Dan ayah saya suruh berhati hati berjalan di laluan yang saya lalu tu sebab ada lumpur kesan tapak kaki khinzir. Dan setelah ingin pulang, saya mendapati bahawa jubah dan kaki yang saya pakai terdapat kesan lumpur. Disebabkan sy agak yakin yang kawasan lain yang saya pergi adalah kering (selain kawasan lumpur tadi), jadi saya yakin bahawa lumpur yang terkena pada jubah dan kaki saya adalah dari tempat kawasan bekas kaki khinzir tersebut (tapi saya tidak lihat dengan mata kepala saya sendiri). Lalu, saya sertu kaki saya tetapi sy tidak sertu jubah tersebut.
Soalan saya:
1. Adakah saya perlu sertu sedangkan saya tidak nampak dengan mata kepala saya sendiri? (Tetapi time tu saya yakin yang hanya kawasan tersebut sahaja yang basah dan telah menyebabkan saya yakin yang lumpur tersebut ialah dari kawasan khinzir itu)
2. Disebabkan dahulu saya tidak sertu jubah sy, adakah saya masih perlu sertunya sekarang, sedangkan kes ini sudah berlaku sejak 6-7 tahun lalu?
3. Dan semasa kali pertama ingin membasuh jubah tersebut pada 6-7 tahun lalu, ibu saya ada memegang dan campurkan jubah tersebut untuk dicuci dengan pakaian yg lain. Saya ada memberitahu ibu saya tentang lumpur pada jubah tersebut tetapi ibu saya hanya mengendahkannya. Adakah ibu saya perlu sertu tangannya sekarang walaupun sudah 6-7 tahun berlalu? Dan bagaimana pula dengan pakaian yg bercampur ketika ingin dicuci tersebut?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
1) Sekiranya yakin terdapatnya najis babi tersebut, maka perlu disucikan dengan cara disertu tempat yang terkena najis. Namun, jika sekadar andaian maka ia tidak perlu disertu. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan:
الأصل في الأشياء الطهارة
Maksudnya : "Hukum asal segala sesuatu adalah suci". Ini kerana pada asalnya, hukum sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan dihadiri salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqh yang lain juga ada menyatakan bahawa:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
2) Tidak perlu sertu.
3) Tidak perlu sertu.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.