BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya. Semasa saya nak memasuki kereta saya terpijak sesuatu tapi saya tak pasti sama ada ia najis anjing atau sekadar tanah kering kerana ada yang bergumpal dan terlerai serta kawasan itu memang banyak anjing,apabila saya pulang ke rumah saya membersihkan lantai halaman rumah dengan sabun dan air sahaja sambil itu saya bersihkan sekali kasut tersebut namun saya masih musykil sama ada ia najis anjing dan semasa membersihkan lantai maka air tersebut mengalir dan membawa najis itu berpindah merata. Apabila kering pula orang lain melalui kawasan itu berkasut atau berkaki ayam, saya bimbang najis tersebut akan berpindah ke setiap permukaan yang memijaknya memandangkan ia lantai dan masuk ke rumah. Pada situasi lain, saya telah meletakkan kasut saya di luar kedai dan bila saya keluar untuk mengambil kasut saya, ia sudah terusik dan kebetulan pada hari itu terdapat anjing berehat berdekatan kawasan tersebut serta hari hujan jadi kasut saya basah maka saya tidak pasti ia disebabkan anjing atau orang yang melalui kawasan tersebut terlanggar kasut saya, saya agak musykil sehingga terfikir untuk melihat cctv tetapi ia mungkin menimbulkan kehairanan orang memandangkan saya tidak biasa di situ. Saya agak terganggu dan bimbang amalan saya tidak diterima dan orang lain juga turut menanggungnya. 

Mohon pencerahan daripada pihak tuan/puan.

Sekian, terima kasih.

 

Maklumbalas pihak tuan/puan sangat dihargai.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya : "Hukum asal segala sesuatu adalah suci". Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan".  Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 197

message user image