BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini terdengar percanggahan hukum tentang pemakaian inai pada jari. Umum sedia maklum pemakaian inai bagi lelaki tanpa sebab adalah haram. Bagi perempuan berkahwin pula adalah harus. Bagaimana hukumnya bagi perempuan yang belum berkahwin? Terdapat asatizah yang mengatakan harus, ada juga menyatakan haram di sisi mazhab Syafie. Sekarang trend pemakaian inai semakin meningkat, termasuk oleh mereka yang belum berkahwin. Mohon beri pencerahan agar umat Islam tidak terjerumus lebih dalam ke lembah dosa.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, pemakaian inai bagi wanita secara umumnya adalah diharuskan selagi mana tidak menimbulkan fitnah. Pemakaian inai ini digalakkan terutama bagi mereka yang telah berkahwin. Hal ini, berdasarkan hadis-hadis yang masyhur. Menurut Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya Al-Majmu’:

"أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي"

Maksudnya: Mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai adalah digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin berdasarkan hadis-hadis masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk tujuan perubatan. [Rujuk Al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294]

Pendapat ini berdasarkan riwayat Aishah RA berkata:

"أَنَّ امْرَأَةً مَدَّتْ يَدَهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ فَقَبَضَ يَدَهُ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَدَدْتُ يَدِي إِلَيْكَ بِكِتَابٍ فَلَمْ تَأْخُذْهُ فَقَالَ إِنِّي لَمْ أَدْرِي أَيَدُ امْرَأَةٍ هِيَ أَوْ رَجُلٍ قَالَتْ بَلْ يَدُ امْرَأَةٍ قَالَ لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ بِالْحِنَّاءِ"

Maksudnya: "Seorang wanita menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW dengan sebuah kitab, wanita itu memegang tangan beliau seraya berkata, "Wahai Rasulullah, aku hulurkan tanganku dengan sebuah kitab namun engkau tidak mengambilnya? Baginda bersabda: "Aku tidak tahu, apakah itu tangan seorang wanita atau tangan lelaki." Wanita itu berkata, "itu tangan wanita."Baginda  bersabda: Sekiranya kamu seorang wanita maka tukarkanlah warna kukumu dengan inai ." (Riwayat Al-Nasa'i).

 Manakala, pemakaian inai bagi lelaki samada pada tangan atau kaki atas dasar berhias adalah haram kerana secara asasnya inai ini sinonim digunakan sebagai perhiasan wanita. Berdasarkan makna umum hadis riwayat Ibn Abbas ini:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Maksudnya: "Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki. (Riwayat Al-Bukhari)

Adapun lelaki mengenakan inai pada rambut adalah dibenarkan. Antaranya berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar RA. Rasulullah SAW bersabda:

إٍنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الحِنَّاءُ وَالكَتَمُ

Maksudnya: “Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut yang beruban ialah pokok inai dan katam”. (Riwayat al-Tirmizi).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 juga telah mengadakan perbincangan mengenai pemakaian inai ini dibawah tajuk “Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak” yang bersidang pada 2 Oktober 2009. Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara bahawa:

  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja,manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula,corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penerangan di atas, pemakaian inai bagi wanita secara umumnya adalah diharuskan selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah. Pemakaian inai ini digalakkan terutama bagi wanita yang telah berkahwin. Para lelaki dan wanita hendaklah menjaga perkara-perkara yang telah disebut di atas sekiranya hendak menggunakan inai ini pada anggota badan mereka. Selain itu, dinasihatkan kepada semua agar bersederhana dalam berhias agar tidak terjerumus kepada kemaksiatan dan dosa.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 398

message user image