Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pada tahun 2014 dan 2017 saya telah mengerjakan umrah. Dan kini tahun 2022 saya merupakan seorang ayah yang mempunyai dua orang yang berumur 4 tahun dan 1 tahun. Nak dijadikan cerita saya sebenarnya ingin muhasabah diri serta ingin berubah menjadi lebih baik serta cuba solat di awal waktu dan tidak meninggalkan solat. Saya mula bersedekah di masjid2 dsbnya dan baru2 ini sy ditawarkan oleh majikan saya untuk mengerjakan umrah selama 10h9m . Saya juga akan memastikan keperluan dan nafkah diberikan kpd isteri saya sebelum saya berangkat. Jadi soalan saya apakah hukum saya meninggalkan isteri dan anak2 untuk pergi mengerjakan umrah ? .
Saya bimbang umrah saya tidak sah dan juga adakah sy berdosa melepaskan tanggungjawab sebagai suami dan ayah ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, secara asasnya melaksanakan umrah hanya wajib sekali seumur hidup. Jika seseorang ingin mengerjakan umrah seterusnya maka Islam tidak menghalang perbuatan tersebut. Malah, ia dikira sebagai perbuatan yang baik dan menjadi penghapus dosa bagi seseorang. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: اَلْعُمْرَةُ إِلَى اَلْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا, وَالْحَجُّ اَلْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا اَلْجَنَّةَ
Maksudnya: "Umrah ke umrah menghapus dosa antara keduanya, dan tidak ada pahala bagi haji mabrur kecuali syurga."
Adapun tentang meninggalkan keluarga kerana melaksanakan ibadah haji atau umrah, penting untuk memahami terlebih dahulu bahawa sebelum seseorang dibolehkan untuk menunaikan umrah atau haji terdapat beberapa syarat wajib yang mesti diperhatikan dan dipenuhi. Antara syaratnya ialah
Persoalan di atas menyentuh syarat istito’ah atau seseorang mestilah berkemampuan dalam melaksanakan ibadah umrah atau haji. Makna istito’ah ini menurut mazhab Syafie merangkumi banyak aspek termasuk dari sudut kesihatan, kewangan, keberadaan mahram (bagi wanita), kenderaan pergi dan balik dan aman dalam perjalanan. Sebagai seorang suami dan ketua keluarga untuk memenuhi syarat istito’ah ini hendaklah memastikan diri mempunyai bekalan yang mencukupi untuk menuju ke tanah suci sehingga pulang. Di samping itu, sebagai ketua keluarga juga mesti menyediakan nafkah dan bekalan yang mencukupi bagi keluarga di bawah tanggungannya di tanah air. Dari segi keselamatan, sekiranya suami khuatir akan keselamatan diri, keluarga, harta dan maruah maka gugurlah kewajipan seseorang menunaikan haji atau umrahnya.
Kesimpulan
Maka, tidak salah bagi seorang ketua keluarga meninggalkan keluarganya seketika untuk menunaikan ibadah dalam keadaan ketua keluarga tersebut mengetahui ahli keluarganya dalam jagaan dan kesihatan yang baik. Di sini dapat dilihat betapa Islam menitikberatkan soal kemaslahatan bukan sahaja terhadap diri seseorang yang ingin berpergian ke tanah suci bagi menunaikan ibadah umrah atau haji, malah turut mengambil kira orang-orang yang ditinggalkan mestilah dinafkahi dan ditinggalkan dalam keadaan yang baik untuk mengelak fitnah dan kemudaratan yang lain. Dinasihatkan buat para suami yang meninggalkan keluarga meminta bantuan saudara mara atau ahli keluarga yang lain supaya dapat memantau keadaan keluarga sepeninggalannya ke tanah suci sebagai langkah berjaga-jaga.
Semoga Allah SWT mengurniakan tuan istiqamah dan kekuatan untuk berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Moga Allah juga memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب