Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya ada masalah was2 yang agak kronik... Saya ada dua pertanyaan
1) kalau kita naik grabcar non muslim tapi x pasti sama ada kereta yang dinaiki ada pernah bawa anjing atau tak.. pernah naik masa tu hujan lebat jadi was2 kalau baju basah terkena seat kereta (kalau pernah bawa anjing dalam kereta) Adakah perlu diabaikan sahaja?
2) penapis udara coway biasa nya akan di servis tiap dua bulan, kalau untuk rumah non muslim yg ada anjing, biasa bulu anjing akan melekat kat dalam tu.. apakah hukumnya kalau menggunakan berus yang sama (berus yg dah digunakan untuk buang habuk + bulu dirumah non muslim yg ada anjing dlm rumah) untuk membersihkan penapis udara rumah muslim..
Terima kasih utk penjelasan..
Jawapan
Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.
Semoga puan sentiasa sihat walafiat.
Sebagaimana yang pihak puan sedia maklum bahawa was-was adalah mainan daripada syaitan yang ia membawa kesan yang sangat buruk jika dibiarkan dan berlarutan. Apatah lagi penyakit ini berlaku kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah seseorang. Antara kaedah yang boleh puan lakukan adalah dengan menanamkan atau meletakkan rasa penuh keyakinan dalam diri terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Seperti kita meyakini bahawa kenderaan pengangkutan awam yang kita naiki itu tidak terkena najis dan merasa yakin terhadap tahap kesuciannya. Oleh itu, tetapkanlah hati kita dengan tahap keyakinan yang tinggi selain membuang sejauh-jauhnya sebarang syak wasangka atau perasaan waswas.
1. Berkaitan perasaan waswas pada Grabcar yang kita naiki, hendaklah kita abaikan sahaja perasan tersebut selagi kita tidak jelas kehadiran sebarang najis dalam kereta tersebut sama ada ain, bau mahupun warna. Hal ini selari dengan kaedah fiqah yang berbunyi:
(الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ)
Maksudnya: (Hukum) asal sesuatu perkara adalah suci.
Ini bermakna, kereta tersebut pada asalnya adalah suci, perlu diyakini kesuciannya selagi tidak ada kepastian wujud sebarang najis.
Berkenaan najis yang tidak zahir kewujudannya, kita tidak dipertanggungjawabkan untuk mencarinya.
2. Bagi soalan kedua, persoalan yang ditanyakan hanyalah andaian, maka berus tersebut tetap dianggap sebagai suci berdasarkan kaedah fiqah tadi.
والله أعلم بالصواب