Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada pertanyaan. Apakah hukum bekerja di pusat penysunan atau " sorting center" bagi syarikat seperti lazada atau shopee, kerana kedua-dua syarikat ini menjual barang yang tidak haram dan haram seperti arak. Sekiranya seseorang itu bekerja di pusat penyusunan tersebut adakah pendapatannya haram dan mereka juga dilaknat, walaupun barang yang disusun itu tidak pasti sama ada ianya arak atau bukan? mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Semoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Merujuk kepada persoalan, kami dapati proses tersebut di luar kawalan kuasa tuan/puan bahkan barang tersebut bercampur baur antara barang yang halal dan haram tanpa kepastian. Maka kaedah fiqah menyebutkan: اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ yang membawa maksud "Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan".
Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah ini telah memasukkan huraian daripada Syeikh Abu Hamid al-Isfirayini tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya, “...seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber daripada perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari sumber haram atau tidak, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan ia berasal dari sumber yang halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan; tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir).
Berdasarkan kaedah di atas, proses penyusunan barang berlaku secara rawak tanpa mengetahui isi kandungan barang secara spesifik atau tanpa kepastian. Maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu iaitu harus.
Namun begitu, kami juga menasihatkan agar tuan/puan mencari pekerjaan yang bebas daripada syubhah kerana ia bersifat lebih aman. Akan tetapi sekiranya terdapat kekangan, maka boleh bekerja di tempat tersebut dengan syarat tuan/puan tidak redha dengan syubhat yang dijalankan syarikat tersebut, di samping berusaha juga untuk mencari pekerjaan lain yang lebih selamat dan terjamin.
والله أعلم بالصواب