BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz saya ingin bertanya

Soalan 1

 jika seorg isteri (balu) selepas suami meninggal boleh ke beliau keluar dari umah dan pergi ke surau bagi melihat jenazah arwah suaminya buat kali yang terakhir dan selepas itu balik ke rumah.

Soalan 2

Jika jenazah yg telah dimandikan boleh ke makcik,adik ipar perempuan menyentuh arwah.

Soalan 3

Boleh ke wanita mengetuai majlis tahlil arwah dirumah simati?

Soalan 4

Tatacara dan adab seorang balu semasa didalam edah.

Soalan 5

Bolehkah seorng anak buah lelaki salam seorng makcik yg dalam edah adakah berdosa.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan;-

1) Seandainya jenazah suami berada di rumah untuk dibawa ke masjid, maka tidak sayugia bagi isteri (balu) keluar rumah untuk mengiringinya. Namun seandainya jenazah suami dibawa dari luar seperti dari hospital atau sebagainya terus ke masjid tanpa ke rumah, maka isteri dibenarkan untuk hadir ke masjid bagi membuat penghormatan terakhir dengan menjaga hukum-hakam seorang isteri yang berkabung (ihdad). Namun begitu adalah lebih utama untuk duduk di rumah. 

2) Boleh, jika yang dimaksudkan itu adalah makcik kepada suami sendiri (terdiri daripada adik-beradik kandung sebelah bapa dan ibu suami). Kalau makcik ipar iaitu isteri kepada pakcik, tidak boleh menyentuhnya. Begitu juga adik ipar perempuan adalah tidak dibenarkan untuk menyentuhnya kerana dia bukan mahram kepada suami. 

3) Wanita boleh mengetuai majlis tahlil arwah yang hanya dihadiri oleh jemaah wanita sahaja. 

4) Tatacara dan adab semasa dalam tempoh iddah ialah

  • Wajib ihdad (tidak berhias) 
  • Tinggal tetap di rumah suaminya. 
  • Tidak memakai pakaian yang cantik dan menarik.
  • Tidak memakai sebarang bentuk perhiasan pada anggota badan seperti emas, perak dan seumpamanya.
  • Tidak memakai sebarang wangi-wangian.
  • Tidak bersolek pada wajah dan mata dengan sebarang solekan termasuk bercelak.
  • Dibenarkan untuk keluar ke rumah jiran berhampiran berbual bagi mengurangkan kesedihan atau kesunyian.

5) Anak buah lelaki yang boleh bersalaman ialah anak lelaki kepada kakak/abang/adik kandung makcik sahaja. Kalau anak buah lelaki daripada adik-beradik suami, makcik tidak boleh bersalaman kerana makcik adalah makcik ipar (bukan mahram/ajnabiyah). Hukumnya adalah sama, sama ada semasa iddah atau di luar waktu iddah. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 761

message user image