Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya mempunyai nurseri tanaman dan kerap menggunakan tinja ayam diproses sebagai baja. Saya hendak tahu sama ada tinja ayam yang telah diproses untuk tujuan pembajaan masih dikira sebagai najis ataupun tidak?
Menurut kefahaman saya, mengikut mazhab Shafii hukum tinja dari mana-mana haiwan adalah najis tetapi saya tidak jelas berkaitan tinja haiwan yang telah diproses seperti yang saya sebut di atas.
Terima kasih atas perhatian pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Wassalam.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Semoga tuan dan puan sihat sentiasa. Saya mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Seperti yang kita semua sedia maklum, bahawa baja daripada tinja (najis) haiwan adalah amat sesuai untuk pelbagai jenis tumbuhan dan tanaman sama ada sayuran, buah-buahan mahupun pokok hiasan. Ini kerana sifatnya yang lebih bertindak sebagai agen bagi memulih serta mengembalikan kesuburan tanah. Oleh itu, apabila tanah yang digunakan subur maka hasil yang diperolehi juga lebih berkualiti.
Merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan berkaitan tinja ayam, kita tidak nafikan bahawa ianya merupakan najis. Apabila berlaku proses percampuran antara bahan yang suci dan najis, maka keseluruhan bahan campuran tersebut menjadi najis.
ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:
إذا اجتَمَع الحلالُ والحرامُ غُلِّبَ الحرام
Maksudnya: Apabila /berkumpul bercampur halal dan haram, maka dimenangkan haram.
والله أعلم بالصواب