Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum
Saya bekerja didalam sektor pembaikan, dimana saya perlu membaiki dapur gas, dan client saya kebanyakkannya adalah dari bangsa cina, ketika membaiki dapur gas mereka, terdapat banyak minyak yang menimbulkan rasa was was terhadap najis berat seperti babi terkena anggota badan dan pakaian, saya sudah memakai sarung tangan pakai buang juga apron pakai buang, tetapi saya was was juga akan terdapat najis itu terkena anggota badan dan pakaian, saya tidak mampu untuk terus samak anggota badan yang saya risau terkena najis najis tersebut untuk solat fardu zohor dan asar dimana saya perlu untuk solat dimasjid masjid terdekat, minta tolong pendapat pakar agama untuk menasihati saya, samaada perlu untuk saya berhenti kerja ataupun terdapat maaf dari sudut agama
Terima Kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan encik, sekiranya diri menyakini najis mughallazah (anjing dan khinzir serta terbitannya) terkena pada badan, pakaian, tempat atau permukaan maka wajib untuk melakukan sertu dari sisi mazhab Syafie. Sertu ialah menyucikan diri daripada najis mughallazah yang terkena pada badan, pakaian, tempat ataupun permukaan. Ia dilakukan dengan enam kali basuhan air mutlak, dan satu kali basuhan air bercampur tanah (sebaiknya menggunakan air tanah ini di awal basuhan bukan basuhan terakhir). Berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah. [Riwayat Muslim]
Walau bagaimanapun, sekiranya diri belum benar-benar yakin akan kenajisan sesuatu, maka hendaklah meninggalkan perasaan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu kerana kaedah yang bertepatan tentang syak menyebutkan bahawa:
الشك لا يبنى عليه حكم
Maksudnya: Hukum tidak akan terbina ke atas perkara syak
Sepertimana yang dilakukan tuan sebagai langkah berjaga-jaga dan kemudahan, menyediakan sarung apron, pakaian lebihan dan sarung tangan yang bersifat pakai buang yang melindungi baju di bahagian dalam adalah satu inisiatif yang baik. Selagi mana tidak diyakini kehadiran najis seperti terdapat ain najis anjing, maka ia tidak perlu disertu.
Kesimpulan
Secara tuntasnya, mazhab Syafie mewajibkan sertu pada najis mughallazah (anjing dan khinzir serta terbitannya) jika terkena pada badan, pakaian, tempat atau permukaan. Hal ini mestilah dilakukan atas keyakinan bahawa sesuatu najis mughallazah itu terkena pada badan, pakaian, tempat atau permukaan ini. Sekiranya terdapat keraguan padanya, maka hendaklah mengabaikan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Hal ini kerana, agama kita terbina bagi memudahkan umatnya dalam melaksanakan sesuatu dan menolak sikap takalluf (تكلف) iaitu sifat membebankan diri dalam beribadah. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hambaNya daripada syariat yang telah ditetapkan oleh-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 78:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب