Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan Salam sejahtera, Tuan/Puan/Ustaz/Ustazah/Haji/Hajah. Saya adalah seorang pelajar praktikal (internship) dalam bidang memasak dan servis "food & beverage" di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di sebuah hotel tersebut, saya telah menandatangani kontrak selama 2-3 bulan di bahagian memasak dan service (penghidang makanan), hotel tersebut mempunyai restoran yang juga menghidang arak, jadi saya terpaksa menghidang arak walaupun niat dan hati saya tidak rela, dan saya juga menjadi tidak tentu arah kerana saya bukannya pekerja yang boleh berhenti, tetapi adalah pelajar praktikal yang kontrak, hotel yang dipilih itu juga bukanlah hotel yang saya minta sebaliknya pensyarah saya yang memilih hotel untuk kami, jika difikirkan cara yang terakhir adalah berhenti belajar (drop) tetapi saya pun sudah pada semester terakhir, apakah pendapat Tuan/Puan/Ustaz/Ustazah/Haji/Hajah atas perkara berkenaan, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Semoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Merujuk kepada persoalan, Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Maidah, ayat 90:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
’Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Bahkan berkenaan arak ini juga telah dijelaskan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA., bahawa Nabi SAW bersabda;
لعن النبى ﷺ في الخمر عشرة: عاصرها ومعتصرها وشاربها وحاملها والمحمولة إليه وسافتها وبائعها وآكل ثمنها والمشتري لها والمشتراة
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat al-Tirmizi).
Berdasarkan dalil-dalil di atas, sebarang urusan yang bersangkut paut dengan arak mestilah dijauhi. Maka dalam hal ini. kami mencadangkan agar pihak saudara berbincang semula dan dapatkan ihsan bersama pihak pengurusan juga pensyarah supaya skop tugasan tersebut diserahkan kepada pekerja non-muslim.
Setelah segala usaha untuk mendapatkan pengecualian daripada tugasan melibatkan penyediaan arak dilakukan, namun tidak mendapat kerjasama daripada pihak-pihak yang terbabit dan pilihan untuk melepaskan latihan industri tersebut menyebabkan kegagalan di dalam kursus/pengajian yang diambil atau tidak dapat menanggung kos tambahan pengajian sekiranya berbuat semikian, maka ketika itu dibenarkan untuk meneruskan latihan dengan syarat berusaha mengelak atau mengurangkan penglibatan di dalam penyediaan arak tersebut. Seandainya pihak hotel ada memberikan elaun atau insentif, maka ia perlu disucikan berdasarkan nisbah masa yang digunakan di dalam penyedian arak.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.