BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

asslamualaikum ustaz. Kalau kita solat tapi bacaan tak jelas solat tak sah kn? Bagaimana pula jika kita baru lepas cabut gigi dan gusi bengkak makan masa nak baik. Apa hukum kita solat tapi bacaan tak jelas dan semasa ruku' dan sujud bacaan cuma dalam hati shj(sbb gigi depn tak ada risau air liur meleleh) sah ke solat kita? Atau perlukah tunggu sihat baru ganti solat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan; antara rukun yang utama dalam solat adalah rukun qauli. Rukun qauli ini wajib dibaca dan dilafazkan sekurang-kurangnya ia didengari oleh telinganya sendiri. Rukun qauli ini sunnah dilafazkan secara perlahan dan didengari oleh telinga sendiri ketika sendirian ataupun berjemaah.Sebagai syarat sah kepada rukun qauli ini bacaan hendaklah mengikut tajwidnya yang betul. Antara rukun qauli yang terdapat di dalam solat adalah seperti berikut;

  1. Takbiratul Ihram
  2. Bacaan Surah Al-Fatihah
  3. Tasyahud akhir
  4. Selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW
  5. Salam

Imam al-Nawawi dalam Raudah Al-Talibin wa Umdah Al-Muftin menerangkan hal ini bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan suara yang perlahan iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar.

Beliau menambah lagi di dalam kitabnya Al-Majmu’: “Bagi makmum sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika seseorang itu mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan Al-Fatihan, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.

Berdasarkan penyataan di atas, difahami sekiranya lima rukun qauli ini tidak dipatuhi dengan sengaja sedangkan dia mampu melakukannya, maka tidak sah solat seseorang itu. Namun, jika seseorang mempunyai halangan untuk melafazkannya atau  mempunyai masalah pendengaran, Islam dalam hal ini tidak memberatkan seorang hamba melakukan sesuatu luar dari kemampuannya sehingga memudaratkan dirinya. Lakukanlah mengikut kemampuan dan tidak menganggu jemaah yang lain jika solat berjemaah.

Kesimpulan

Jesteru, dalam hal melaksanakan rukun qauli ini setiap Muslim hendaklah menjaga aturan dan adabnya. Sunah melafazkan rukun qauli ini dengan perlahan dan didengari oleh telinga sendiri sama ada solat secara sendirian atau berjemaah. Sekiranya terdapat halangan seperti menyebabkan sakit jika menyebut rukun qauli ini atau mempunyai masalah pendengaran sehingga tidak dapat mengenalpasti kekuatan suara sendiri, maka lafazkan rukun qauli ini sekadar kemampuan sahaja. Solat tersebut tidak perlu diganti melainkan seseorang tu sengaja meninggalkan rukun qauli ini. Islam dalam hal ini tidak memberatkan seorang hamba sehingga terpaksa melakukan sesuatu di luar kemampuannya dan memudaratkan dirinya. Moga Allah beri kemudahan dan kebaikan atas usaha untuk menyempurnakan ibadah dengan baik.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 381

message user image