BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya ingin bertanya, apakah hukum sekiranya seseorang individu menerima bantuan berupa makanan atau duit dari pihak gereja? Sama ada situasi individu tu dalam keadaan terdesak atau tidak terdesak. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته ...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه

Merujuk kepada persoalan saudari, hukum menerima bantuan berupa makanan atau duit daripada pihak gereja adalah harus selagi mana pemberian tersebut adalah makanan yang halal dan tidak mensyaratkan kepada penerima sumbangan untuk menyekutukan Allah SWT dan berpaling daripada agama Islam. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA:

أَنَّ امْرَأَةً يَهُودِيَّةً أَتَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشَاةٍ مَسْمُومَةٍ فَأَكَلَ مِنْهَا

Maksudnya: Seorang wanita Yahudi pernah membawakan sepotong daging kambing yang telah diracun lalu Baginda memakannya. (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, sekalipun akhirnya Rasulullah SAW diracun setelah memakan daging pemberian wanita Yahudi itu, masih menunjukkan bahawa bolehnya menerima hadiah makanan daripada orang bukan Islam.

Walau bagaimanapun, ianya tidak menafikan keharusan untuk bersikap bersikap warak dalam mengambil suatu makanan atau pemberian. Adalah sebaiknya pemberian yang diterima itu diperolehi daripada orang yang bertaqwa dan disediakan juga dengan taqwa.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 247

message user image