Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Kawan saya seorang wiring kecil-kecilan,mengambil kerja disekitar daerah tmpt saya,beliau seeing kekurangan modal tunai utk membeli barang-barang wiring.beliau sering meminta pertolongan saya Dari segi kewangan dgn memberikan 10% Dari jumlah Wang yg saya beriman contohnya jika rm3000 beliau akan kembalikan sebanyak rm3300 Tanpa saya meminta.bila saya tanya, beliau kata itu keuntungan Dari hasil kerjanya Dan ikhlas memberi kerana menolongnya.soalan saya,boleh kah saya menerimanya atau perlu saya menolaknya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, riba daripada segi bahasa, bermaksud tambahan atau kenaikan. Manakala dari segi istilah, ia bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman. Hukum riba adalah haram sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran, ayat 130:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
Di samping itu, terdapat satu kaedah Fiqah yang masyhur berkaitan riba yang menyatakan:
كل قرض جر منفعة فهو ربا
Maksudnya: Setiap hutang/pinjaman yang mendatangkan manfaat/keuntungan, maka itu adalah riba.
Ini bermakna, pemberi hutang tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang keuntungan sama ada berbentuk kewangan atau manfaat lain dari peminjam hutang kerana ia dianggap sebagai riba. Perkara ini diharamkan seandainya perkara tersebut dinyatakan atau disyaratkan di dalam perjanjian pinjaman tersebut.
Sebagai contoh, pemberi hutang memberi syarat: “Saya beri pinjam RM 3,000, pulangkan kepada saya RM 3,300”, maka tambahan tersebut adalah riba.
Walau bagaimanapun, seandainya tidak terdapat sebarang syarat keuntungan atau tambahan, maka tidak menjadi kesalahan dari segi syarak kepada peminjam hutang untuk memberi sebarang bayaran tambahan kepada pemberi hutang sebagai tanda terima kasih atas bantuan yang diberikan. Bahkan perkara ini adalah suatu sunah yang dituntut berdasarkan perbuatan Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Jabir RA berkata:
كَانَ لِي عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَيْنٌ، فَقَضَانِي وَزَادَنِي
Bermaksud: Baginda SAW berhutang kepadaku, lalu Baginda membayarnya dan melebihkan bayaran kepadaku (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sekian. Terima kasih.
والله أعلم بالصواب