Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,Saya nak bertanya jika Saya tidak pergi solat jumaat tapi Saya menunaikan solat zuhur di rumah sebelum selesai solat jumaat di masjid adakah sah solat saya.. tolong beri penjelasan?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Menurut Imam Nawawi dalam kitab Raudah at-Tolibin: Jika seseorang yang keuzuran untuk mengerjakan solat Jumaat dan dia melaksanakan solat Zohor sebelum tamat solat Jumaat, maka solat Zohornya sah. Antara golongan-golongan yang tidak diwajibkan iaitu diuzurkan daripada solat Jumaat ialah wanita, kanak-kanak lelaki, orang sakit dan musafir.
Tapi berlainan pula hukumnya jika seseorang itu tiada keuzuran, namun sengaja meninggalkan solat Jumaat dengan memilih untuk solat Zohor sahaja, jika solat Zohor itu dilaksanakan sebelum solat Jumaat didirikan, maka solat Zohornya adalah tidak sah. Ini adalah kerana selama Imam belum selesai menunaikan solat Jumaat, dia difardukan untuk menunaikan solat Jumaat, dan bukannya solat Zohor. Selepas Imam selesai menunaikan solat Jumaat, maka orang yang meninggalkan solat Jumaat tanpa keuzuran tadi adalah berdosa kerana telah sengaja melalaikan kefarduan tersebut. Oleh yang demikan, dia wajib mengulangi solat Zohornya setelah solat Jumaat didirikan.
والله أعلم بالصواب