BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum sahibusamahah tn mufti? Saya ingin bertanya.. apakah hukum sekiranya membuat pinjaman untuk menunaikan umrah/ haji?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Ibadah Haji merupakan rukun Islam kelima dan menjadi ibadah wajib bagi seseorang muslim yang berkemampuan seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran ayat 97:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَیۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَیۡهِ سَبِیلࣰاۚ

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

Begitu juga ibadah umrah yang difardukan kepada individu muslim berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 196 berikut:

وَأَتِمُّوا ‌الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.

Haji dan umrah adalah wajib sekali seumur hidup bagi individu Muslim apabila memenuhi syarat wajib haji atau umrah iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, aman perjalanan dan berkemampuan. Ia dikira sunat sekiranya ibadah haji atau umrah dilakukan berkali-kali. Justeru, sewajarnya kita berusaha untuk meletakkan diri ke arah kemampuan untuk mengerjakan haji. 

Istilah kemampuan dijelaskan dalam kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah - Al-Durar Al-Siniyyah sebagai berkeupayaan untuk melakukan sesuatu dan mampu untuk melakukannya. Kemampuan dikategorikan sebagai dua keadaan iaitu berkemampuan mengerjakan haji atau umrah dengan sendiri (sihat tubuh badan, cukup perbelanjaan untuk musafir, mempunyai kenderaan, aman perjalanan dan nafkah tanggungan) atau berkemampuan untuk mewakilkan orang lain melakukan haji atau umrah (sakit yang tiada harapan sembuh, terlalu tua atau uzur).

Merujuk kepada persoalan puan, adalah harus dan dibenarkan untuk menunaikan haji atau umrah menggunakan wang pinjaman dari seseorang atau institusi kewangan atas dasar tuntutan menyegerakan ibadah haji atau umrah seperti hadis berikut:

مَنْ ‌أَرَادَ ‌الْحَجَّ، فَلْيَتَعَجَّلْ، فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ، وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ، وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya: Barangsiapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit itu menyerang seseorang atau kenderaannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain. (Riwayat Ibn Majah 2883)

Pinjaman yang dilakukan juga mestilah tidak melibatkan perkara riba seperti yang dijelaskan Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “dan Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Selain itu, individu yang membuat pinjaman harus mempunyai pendapatan atau gaji yang stabil untuk digunakan sebagai perbelanjaan mengerjakan umrah atau haji, mampu untuk membayar semula pinjaman tersebut serta mampu menanggung nafkah ahli keluarga yang ditinggalkan,

Kenyataan ini dikukuhkan lagi melalui Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 69 juga menjelaskan bahawa harus bagi seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah dari skim pinjaman kewangan sekiranya mampu. Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, taawun, adil dan telus dalam operasinya di samping bebas dari unsur-unsur riba.

Justeru, adalah harus membuat pinjaman dari seseorang atau institusi kewangan bagi menunaikan umrah atau haji sebagai memenuhi tuntutan wajib menunaikan haji atau umrah bagi individu Muslim yang mampu. Individu tersebut haruslah memenuhi syarat kemampuan seperti yang dijelaskan. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan, maka gugurlah kefardhuan haji ke atasnya berikutan kekurangannya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 185

message user image