BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya ada sedikit pertanyaan. Saya membeli insuran konvensional, great eastern. Boleh saya tahu, saya masih keliru, kerana saya sudah membeli insuran itu atas nama saya, anak dan juga isteri. Ada agent insuran islamic menyatakan "insuran konvensional" yang saya beli itu akan merugikan saya. Kerana mereka memberitahu bahawa jikalau saya sudah meninggal atau pemegang polisi tersebut meningal, wang "pampasan" itu tidak di wariskan kepada penama yang saya telah wariskan. Kerana mereka beritahu wang tersebut akan disekat di bahagian baitumal dan amanah raya. Jika itu benar, insuran yang saya beli sekarang adalah merugikan. Atau pun ini cuma marketing strategi mereka untuk menarik orang Islam membeli produk mereka.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, secara umumnya, semua jenis insurans konvensional sama ada insurans nyawa, insurans am serta mempromosikannya adalah haram, begitu juga status pampasan polisi insurans konvensional selepas kematian pembeli polisi adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah, hanya bayaran pokok sahaja dikira sebagai peninggalan si mati untuk faraid. Selebihnya wajib diserah ke Baitulmal. Ini bukanlah “marketing strategi” dan ia bukan berkaitan rugi atau untung, tetapi ia berkaitan dengan hukum. Isu ini telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 20 – 22 April 2011 yang telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi, seperti berikut: 1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam. 2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah. 3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin. 4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (3) di atas. Justeru, tuan adalah dinasihatkan untuk menggunakan insurans yang patuh syariah iaitu takaful. Sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 170

message user image