BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum  dulu saya main forex online sekarang saya dah berhenti ..  saya ada simpan duit Forex.. duit itu memang haram untuk saya gunakan.. soalan saya boleh tak gunakan duit forex itu untuk beli barang electric untuk mertua saya


message user image

Jawapan  

  وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Merujuk kepada persoalan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot forex) melalui Platfom Elektronik  dan didapati  transaksi ini mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverageqabd (penerimaan)  yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, Muzakarah  memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Maka umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.

Hal ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW yang bersabda:

لَا ‌يَحِلُّ ‌سَلَفٌ ‌وَبَيْعٌ، وَلَا شَرْطَانِ فِي بَيْعٍ، وَلَا رِبْحُ مَا لَمْ تَضْمَنْ، وَلَا بَيْعُ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: Tidak halal hutang dan jual beli, (pengenaan) dua syarat dalam satu (transaksi) jual beli, (mendapat) keuntungan (daripada) sesuatu yang tidak dijamin, dan jual beli sesuatu yang engkau tidak miliki. (Riwayat Abu Daud)

Justeru, segala urusniaga forex termasuk juga hasil hartanya adalah haram dan merupakan harta yang tidak patuh syariah. Hasil tersebut tidak boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri atau memberikannya kepada orang lain.

Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:

ما حرم أخذه حرم إعطاءه
Maksudnya: Sesuatu yang haram mengambilnya, haram pula memberikannya

Oleh itu, tidak diharuskan menggunakan wang forex tersebut untuk membeli barangan elektrik untuk diberikan kepada mertua melainkan dia tergolong dalam kalangan fakir atau miskin. Adalah disarankan untuk menyerahkan wang tersebut kepada Baitulmal.

والله أعلم بالصواب 

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 146

message user image