Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum tuan/puan.
Saya ada 2 soalan yang memerlukan penjelasan. Soalan-soalan ini berkaitan dengan harta pusaka arwah ibu saya. Di sini saya nyatakan serba sedikit maklumat berkenaan arwah ibu saya. Ibu saya masih bersuami tetapi sudah tidak duduk sebumbung kerana ayah saya tinggal bersama isteri mudanya.
Soalan 1
Saya perlukan penjelasan berkenaan harta sepencarian pasangan suami isteri. Ibu saya seorang surirumah. Rumah yang ibu saya tinggal selama hayatnya adalah rumah yang ayah saya sediakan. Nama empunya rumah itu adalah nama ayah saya. Adakah terdapat bahagian untuk arwah ibu saya dalam aset rumat tersebut? Apakah yang dimaksudkan dengan harta sepencarian?
Soalan 2
Semasa hujung hayat arwah ibu saya, arwah ibu duduk di rumah saya sehingga akhir hayatnya. Semasa ibu saya masih hidup, ibu saya ada menerima wang nafkah dari ayah saya, tetapi ibu saya tidak mahu terima duit berkenaan. Dan ibu saya berikan kepada saya duit tersebut. Saya pula tidak sampai hati nak gunakan duit tersebut untuk kegunaan peribadi saya tetapi saya gunakan untuk membeli barang keperluan untuk ibu saya di luar pengetahuannya. Dan sekarang ibu saya telah meninggal dunia dan masih terdapat saki baki duit tersebut. Apakah status duit tersebut? Apakah duit tersebut termasuk dalam harta pusaka arwah ibu yang perlu diagih-agihkan kepada waris-warisnya atau duit itu boleh saya gunakan untuk keperluan saya?
Mohon penjelasan dari pihak tuan kerana saya dalam dilema dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Sekian, terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المري
Merujuk kepada persoalan saudari,
1) Seorang isteri yang sah berhak dan layak mendapat harta sepencarian sepanjang perkahwinannya dengan suami. Maksud harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung sepanjang perkahwinan mereka mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara'. Bagi pihak yang bermastautin di Negeri Selangor, sebarang tuntutan harta sepencarian terkandung dalam Seksyen 122, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 iaitu berkaitan Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian:
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.
2) Bergantung kepada niat saudari. Seandainya saudari menerima duit itu sebagai suatu pemberian daripada ibu, maka duit tersebut telah menjadi harta milik saudari dan saudari boleh menggunakannya sebagaimana yang saudari kehendaki. Namun sekiranya niat saudara adalah menyimpan wang tersebut bagi pihak ibu saudari, maka baki wang tersebut merupakan harta pusaka yang perlu difaraidkan.
والله أعلم بالصواب