Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
As salam Encik/ Puan,
Saya sekarang berumur 50 tahun. Baru-baru ini saya dengar ceramah yang megatakan bahawa insuran conventional (yang bukan takaful) adalah haram. Jika berlaku musibah terhadap saya duit insuran yang di bayar oleh insuran conventional ini tidak boleh digunakan kerana haram.
Saya sudah melanggan insuran conventional sejak umur saya 25 tahun dan pada ketika itu takaful tidak ada lagi. Saya sudah mencuba mencari syarikat takaful untuk mengantikan insuran conventional saya sekarang ini tetapi malangnya saya dalam kategori berisiko tinggi maka saya tidak layak untuk medapat khidmat takaful dari mereka. Maka soalan saya, kerana saya tidak ada pilihan lain lagi bolehkah saya terus dengan insuran conventional yang sekarang? Jika saya tamat kan insuran sekarang saya akan terdedah kepada masalah yang lebish besar jika saya "Total Permenant Disability" atau meninggal. Kemungkinan besar saya tidak ada duit yang mencukupi untuk menampung hutang rumah dan kehidupan setelah cacat.
Ini juga membawa kepada issue house loan saya yang bukan Islamic. Saya sudah tidak layak untuk refinance rumah kepada Islamic loan. Bagaimana pula dengan keadaan ini?
Terima kasih diatas perhatian tuan/ puan dan semoga dapat menolong saya dengan masalah saya ini. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan tuan, insurans konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam. Maka kita sebagai orang Islam wajib untuk mengambil takaful seandainya memerlukan. Hal ini adalah kerana manfaat daripada insurans konvensional tidak diharuskan untuk diambil. Walau bagaimanapun, peserta insuran konvensional berhak untuk mendapatkan semula semua caruman yang telah dibayar kepada pihak syarikat. Perkara ini selari dengan firman Allah SWT didalam surah Al-Baqarah, ayat 279:
فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
Di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011/ 12 Rajab 1432H telah memutuskan seperti berikut;
i. Insurans Konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana amat bercanggah dengan Prinsip Islam. Oleh yang demikian, Pampasan Polisi Insurans Konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
ii. Jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta pusaka si mati yang perlu diagihkan secara faraid. Manakala pampasan polisi insurans konvensional tersebut wajib dilupuskan untuk tujuan disucikan harta tersebut dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuk kepada golongan fakir dan miskin.
Berkenaan pinjaman rumah konvensional yang jelas mengandungi unsur riba, judi dan gharar, tuan perlu terus berusaha untuk menghindarinya. Hal ini dinyatakan di dalam surah Al-Baqarah, ayat 275:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Begitu juga di dalam surah Al-Maidah, ayat 90, Allah SWT berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
والله أعلم بالصواب