Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Saya ingin bertanya tentang skincare (penjagaan muka, pencuci muka, pelembap muka, etc) dan wuduk.
Saya mencuci muka dengan sabun dan mengambil wuduk untuk solat. Setelah mencuci muka, dengan segera saya menggunakan pelembap muka (moisturiser) untuk "seal" cucian muka saya lalu saya menunaikan solat.
Saya ada membaca dan mendengar ceramah ustaz di Youtube bahawa wudhu masih sah jika memakai make up lalu solat.
Persoalan saya, adakah sah solat saya memakai moisturiser dahulu? Adakah batal wuduk saya setelah memakai moisturiser? Adakah sama seperti kes makeup tersebut? Untuk pengetahuan, moisturiser yang saya gunakan juga adalah vegan based product maka tiada bahan terlarang dari sumber haiwan digunakan.
Harap kemusykilan saya dapat terjawab. Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, wuduk merupakan perbuatan meratakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Wuduk adalah perkara penting kerana ia merupakan syarat sah solat. Jadi, wuduk mempunyai syarat yang perlu ditunaikan bagi menjadikan wuduk tersebut sah bagi menunaikan solat.
Menurut Imam Hanafi dan Maliki bahawa antara syarat sah wuduk adalah menghilangkan sesuatu yang menghalang air dari terkena anggota wuduk seperti lilin, lemak, doh dan tanah liat. Imam Syafi’i dan Hanbali juga memperakui perkara ini serta menyatakan bahawa sesuatu yang boleh mengubah sifat air tersebut akan menyebabkan wuduknya tidak sah.
Disamping itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami menerangkan dalam kitabnya Tuhfah Al-Muhtaj berkenaan syarat sah wuduk antaranya adalah mesti memastikan pada anggota wuduk tersebut tiada sesuatu yang menghalang air:
وَشَرْطُهُ كَالْغُسْلِ مَاءٌ مُطْلَقٌ … وَأَنْ لَا يَكُونَ عَلَى الْعُضْوِ مَا يُغَيِّرُ الْمَاءَ تَغَيُّرًا ضَارًّا أَوْ جُرْمٌ كَثِيفٌ يَمْنَعُ وُصُولَهُ لِلْبَشَرَةِ
Maksudnya: Dan syaratnya (wuduk) seperti mandi wajib iaitu menggunakan air mutlak … dan mestilah pada anggota wuduk itu tidak terdapat sesuatu yang boleh mengubah dan menghalang air sampai ke kulit.
Bahkan dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaj ‘ala al-Imam Al-Syafi’i ada menyatakan wajib meratakan basuhan kepada semua kulit dan bulu, jika terdapat padanya kotoran di bawah kuku yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduknya tidak sah. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amru R. Anhuma:
رجعنا مع رسول الله - صلى الله عليه وسلم - من مكة إلى المدينة، حتى إذا كنا بماء بالطريق تعجل قوم عند العصر، فتوضأوا وهم عجال، فانتهينا إليهم وأعقابهم تلوح لم يمسها ماء، فقال رسول الله - صلى الله عليه وسلم -: "ويل للأعقاب من النار، أسبغوا الوضوء". أي أتموه وأكملوه باستيعاب العضو بالغسل.
Maksudnya: Kami pulang Bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas menunjukkan bahawa tidak sah wuduk sekiranya terdapat anggota wuduk yang wajib dibasuh tidak terkena air atau ada sesuatu yang menghalang air dari terkena anggota wuduk.
Kesimpulan
Sehubungan dengan itu, merujuk persoalan puan, pemakaian moisturizer selepas berwuduk adalah sah. Hal ini kerana puan telah membuang atau mencuci sesuatu yang boleh menghalang air dari terkena anggota wuduk terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk. Jadi, disarankan bagi individu yang menggunakan barang penjagaan muka atau apa-apa yang diletakkan pada anggota wuduk hendaklah dibuang atau dicuci terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk bagi memenuhi syarat sah solat. Selain itu, produk kecantikan atau penjagaan muka serta alat kosmetik yang digunakan juga perlu dipastikan tidak mengandungi bahan-bahan yang tidak halal mengikut hukum syarak serta bebas daripada alkohol dan pengawet dari sumber yang haram.
والله أعلم بالصواب