Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Betulkah ada hadis yang melarang untuk kita menyanyi ketika menaiki kenderaan? apakah hukumnya?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan persoalan tuan, pihak kami tidak menjumpai hadis yang melarang menyanyi ketika menaiki kenderaan. Namun muzik bukanlah satu perkara yang boleh dihukumkan sebagai harus secara mutlak, atau diharamkan secara mutlak. Para ulama dahulu mahupun kontemporari bersepakat akan pengharaman setiap lagu mahupun muzik yang mengandungi unsur-unsur yang jelas haram seperti menggalakkan zina, dorongan meminum arak, tarian-tarian mengghairahkan dan lirik yang mendorong kepada keganasan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
- Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
- Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
- Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
- Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
- Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
والله أعلم بالصواب