Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti,
Saya nak Tanya tentang najis.
1. Jika tangan kita basah sampai siku atau sampai bahu (sebahagian badan) atau sebelum siku, kemudian hujung jari/tapak tangan kita terkena najis (darah) adakah seluruh anggota basah dikira najis atau tempat yang terkena najis sahaja dikira najis? Bagaimana jika air dari kawasan basah yang tidak terkena najis itu menitik ke lantai?
2.Saya nak tidur selepas solat subuh. Sebelum tidur, saya terfikir benda benda yang negatif sehingga keluar air mazi (kene seluar). Badan saya ada sedikit lembapan peluh (normal)bukan seperti bersukan atau cuaca yang sangat panas,kerana baru bangun tidur. Perlukah saya basuh seluruh badan saya atau memadai kawasan yang terkena dan kemaluan saya sahaja?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Bahagian yang wajib dibasuh bagi menghilangkan najis itu adalah pada bahagian yang terkena najis itu sahaja, maka tidaklah wajib tuan untuk membasuh seluruh badan sekiranya bahagian tersebut tidak terkena najis. Begitu juga sekiranya air yang menitik dari bahagian yang tidak terkena najis, maka ia tidak dikira sebagai najis.
2. Tuan hanya perlu membasuh kemaluan dan bahagian-bahagian lain yang terkena air mazi tersebut sahaja, tanpa perlu membasuh keseluruhan badan.
والله أعلم بالصواب