Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya rifqi daripada perak. Saya nak bertanya berkenaan dengan apakah tindakkan yang perlu saya ambik berkenaan dengan cerita ini. Saya pernah diamanahkan untuk menjadi bendahari dalam satu program dan perlu mengutip semua duit daripada kesemua ahli. Dipendekkan cerita, selepas tamat program tersebut ada lebihan baki duit majlis. Saya pernah bertanyakan kepada ahli ajk tentang duit tersebut. Saya ingat-ingat lupa tentang perkara tersebut. Yang saya ingat saya pernah mintak halalkan duit ini kepada saya, ada juga pihak ajk nak gunakan duit ini untuk program lain tetapi apa jenis program pon tidak pernah terlaksana. Sekarang sudah dekat tiga tahun duit ini ada pada saya. Apa yang patut saya buat. Tolong beri pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Islam memandang berat berhubung sumber sesuatu harta itu didapati dan bagaimana perbelanjaan harta tersebut dibuat. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 42:
وَلَا تَأْكُلُوْٓا اَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوْا بِهَآ اِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوْا فَرِيْقًا مِّنْ اَمْوَالِ النَّاسِ بِالْاِثْمِ وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Berdasarkan kenyataan pihak puan, duit sumbangan yang dikutip daripada ahli adalah bertujuan bagi melaksanakan satu program dan setelah program berakhir terdapat baki wang daripada sumbangan tersebut. Sekiranya terdapat pernyataan bahawa baki wang yang dikutip itu boleh digunakan bagi tujuan lain maka duit tersebut harus digunakan bagi tujuan lain dan sebaik-baiknya diinfakkan kepada yang memerlukan. Namun, jika sekiranya tiada, maka perlulah mendapatkan persetujuan daripada semua ahli yang terlibat tentang cara wang tersebut hendak dibelanjakan. Sekiranya setelah diusahakan menghubungi ahli-ahli dan tidak mendapat apa-apa maklum balas maka wang baki tersebut hendaklah diserahkan kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang amanah.
والله أعلم بالصواب