BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Bagi petugas yang sudah lama berkerja di klinik haiwan, semestinya hampir kesemua tempat dan kawasan sudah dicemari dengan najis mughallazah secara ain ataupun hukmi. Soalan saya..

1. Kita baru dalam setahun lebih mengetahui berkenaan najis hukmi ini perlu disertu juga, sebelum ini tidak diketahui dan telah membawa najis jenis ini ke merata tempat termasuklah kereta dan rumah, lalu barangan lain jatuh mengenai tempat yang dikenai najis hukmi.. Bagaimana status barang tersebut..

2. Kita telah berusaha untuk mengurangkan beban sertu dengan menyediakan barangan dan kasut yang berlainan semasa bekerja. Tetapi kadang itu terlupa dan membawa balik pakaian dan kasut yang pernah terkena najis dan basuh sekali dengan pakaian lain.. Apa hukumnya?

3. Adakah terdapat rukshah dalam menyertu bagi yang bertugas di klinik haiwan, dimana hampir kesemua tempat dicemari najis mughallazah seperti lantai, pintu, meja dan lain. Kesemuanya dilap dan dimop tetapi tidak disertu, maka najis hukmi disebarkan..

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

  الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang ditanyakan, hukum asal sesuatu perkara/benda itu adalah suci sebagaimana kaedah Fiqah ada menyatakan:

الأصل في الأشياء الطهارة

Bermaksud: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini bermakna sesuatu tempat atau barang adalah suci sehingga diyakini tempat atau barang itu terkena najis. Yakin terkena najis bermaksud mengetahui dengan melihat terdapat ain najis berkenaan. Tempat yang wajib dibersihkan dan disertu adalah tempat di mana ain najis itu berada. Adapun anjing yang masuk ke dalam klinik dalam keadaan kering atau tidak dapat dipastikan keadaannya basah atau kering, maka ia tidak menjadikan barang yang tersentuh menjadi bernajis atau mutanajjis. Oleh itu:

1. Tidak boleh menganggap hampir keseluruhan klinik telah bernajis atau mutanajjis tanpa meyakini ia telah terkena ain najis sebagaimana yang dinyatakan di atas.

2. Apabila yakin pakaian terkena ain najis mughalazah, maka ia wajib disertu. Sekiranya pakaian yang terkena ain najis mughalazah tadi bercampur dengan pakaian yang lain, maka kesemua pakaian itu menjadi mutanajjis. Seandainya ragu-ragu atau tidak pasti, maka tidak wajib disertu.

3. Tiada sebarang rukhsah atau kelonggaran dalam bab menyucikan diri daripada najis kerana ia akan melibatkan amal ibadah kita seharian. Pelaksanaan proses sertu ini perlu dilaksanakan ke atas tempat-tempat yang diyakini terdapat atau terkena najis dari segi ainnya, warna, bau atau rasa. Sentiasa beringat setiap kali selesai melaksanakan tugasan perlu sucikan diri atau segala perlatan dan kawasan yang diyakini telah terkena najis dan jangan mengambil sikap sambil lewa atau membuat penangguhan untuk melaksanakan proses penyucian daripada najis. Ini bagi mengelakkan diri dari terlupa dan timbul perasaan was-was sama ada telah bersuci dari najis atau tidak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 445

message user image