Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, saya nak bertanya..jika kita berkumur2 semasa berwudhu dan tertelan air sisa kumur semasa berwudhu adakah kita perlu ulang semula wudhu? Dan macam mana pula jika sengaja telan air liur yang sudah bercampur air sisa kumur itu semasa berwudhu?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Semoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Merujuk kepada persoalan, berwuduk merupakan sebahagian daripada kesempurnaan di dalam solat. Solat tidak sah kecuali disempurnakan dengan berwuduk, hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat ke-6:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُواْ وُجُوهَكُمۡ وَأَيۡدِيَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُواْ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَيۡنِۚ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.
Perkara ini dikukuhkan lagi berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صلاةَ لِمن لا وُضوءَ له
Maksudnya: Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berbalik kepada persoalan, perlu difahami bahawa perbuatan berkumur-kumur merupakan perkara sunat ketika berwuduk. Meskipun sunat, perbuatan tersebut amat digalakkan kerana merupakan anjuran daripada Baginda Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan hadis berikut:
عَنْ حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ: أَنَّهُ رَأَى عثمان دَعَا بِوَضُوءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا
Maksudnya: Daripada Humran mawla Saidina Uthman bin Affan sesungguhnya dia melihat Saidina Uthman RA meminta air wuduk, kemudian beliau mencuci kedua tapak tangannya tiga kali, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya. Kemudian beliau membasuh wajahnya tiga kali, membasuh tangan kanannya hingga siku tiga kali, membasuh tangan kirinya hingga siku tiga kali. Kemudian beliau mengusap kepalanya, seterusnya beliau membasuh kaki kanannya hingga mata kaki tiga kali, begitu juga yang kiri. Kemudian beliau berkata: Aku telah melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maka disimpulkan bahawa perbuatan menelan air kumuran ketika berwuduk tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk dan juga tidak perlu mengulangi wuduk tersebut.
والله أعلم بالصواب