BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalaamu'alaikum wr. wb. Tuan, saya baru mencapai umur 55 tahun, alhamdulillah dan saya ingin menunaikan tanggungjawab zakat KWSP. Persoalannya, selain membayar wang zakat tersebut ke Lembaga Zakat Selangor, bolehkah saya memberikan sebahagian wang zakat KWSP saya tersebut kepada anak saudara yang susah yang mana ia memang salah seorang penerima zakat LZS? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menurut fatwa yang telah putuskan oleh Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor dan telah diwartakan pada 7 Jun 2007 berkenaan Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada' Zakat :

(1)  Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.

(2) Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.

Oleh yang demikian, berdasarkan fatwa tersebut maka dapat difahami bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Lembaga Zakat Selangor, walaupun ianya sah dari sudut hukum syarak, sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak namun ia adalah dianggap telah melanggar peraturan dan undang-undang yang telah diputuskan oleh pemerintah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 115

message user image