BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz

1)Apakah hukum seorang isteri bangun solat tahajjud diakhir malam tidak disukai suami?

2)Hukum suami menghalang isteri beribadah bagaimana sedangkan dia tidak mendirikan solat?

3) jika isteri bangun juga beribadah diakhir malam kerana rindu akan Allah bagaimana hukumnya disisi Nya.Adakah Allah redho?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, secara asasnya sebagai seorang isteri, wajib baginya mentaati suami dalam segala perkara yang makruf (tidak bertentangan dengan syarak). Namun begitu, ketaatan kepada suami bukanlah termasuk ketaatan yang mutlak (tidak terbatas). Islam menetapkan bahawa ketaatan isteri kepada suami bukanlah kepada perkara yang dilarang oleh Allah serta boleh menandingi ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya dan bertentangan dengan kemaslahatan (kebaikan) isteri. Bagi isteri terdapat hak yang perlu ditunaikan terhadap suami begitu juga sebaliknya bagi suami. Dalam hal ini, kedua-dua suami dan isteri perlulah memainkan peranan masing-masing dan saling bantu-membantu dalam mencapai kejayaan dalam melaksanakan ketaatan ini. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 228:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ‎

Maksudnya: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Baqarah 2: 228)

Di sini, syarak mengariskan terdapat beberapa perkara yang memerlukan isteri meminta izin daripada suami iaitu pada perkara seperti keluar bekerja, keluar rumah, bermusafir, iktikaf, puasa sunat, memasukkan seseorang ke dalam rumah, bab menghias diri seperti pemakaian inai dan sebagainya. Begitu juga dalam bab puasa sunat, menurut Imam Al-Nawawi dalam kitab Sharh Al-Muhadzdzab, disyaratkan bagi seorang isteri untuk meminta izin terlebih dahulu daripada suami, jika si isteri berpuasa tanpa izin suaminya maka puasanya sah tapi berdosa. Malah, sekiranya suami meminta isterinya berbuka puasa dan berkehendak ke atas dirinya, si isteri perlu membatalkan puasanya kerana menunaikan hak suami adalah wajib lebih utama daripada amalan sunat. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا ‌شَاهِدٌ ‌إِلَّا ‌بِإِذْنِهِ، وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ، وَمَا أَنْفَقَتْ مِنْ نَفَقَةٍ عَنْ غَيْرِ أَمْرِهِ فَإِنَّهُ يُؤَدَّى إِلَيْهِ شَطْرُهُ

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang wanita untuk berpuasa (puasa sunat) sedangkan suaminya menyaksikannya, dengan tanpa izin dari suaminya, tidak boleh seorang isteri mengizinkan seseorang masuk ke dalam rumah kecuali dengan izin suaminya, jika si isteri menggunakan harta (suami) tanpa izin suaminya, maka suaminya akan mendapat sebahagian pahalanya.

(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Berhubung dengan persoalan puan, para ulama dalam membincangkan hal ini  membezakan antara solat sunat dan puasa sunat. Menurut Imam Al-Ramli (1004 H):

" وَإِنَّمَا لَمْ يَجُزْ ‌صَوْمُهَا ‌بِغَيْرِ إذْنِهِ مَعَ حُضُورِهِ نَظَرًا لِجَوَازِ لِأَنَّ الصَّوْمَ يُهَابُ عَادَةً فَيَمْنَعُهُ التَّمَتُّعُ بِهَا، وَلَا يُلْحَقُ بِالصَّوْمِ صَلَاةُ التَّطَوُّعِ كَمَا بَحَثَهُ الشَّيْخُ لِقِصَرِ زَمَنِهَا"

Maksudnya: Tidak dibolehkan bagi seorang isteri untuk berpuasa  tanpa izin (suami)sekiranya suaminya datang kepadanya kerana puasa boleh menghalang suami untuk bersama dengannya. Akan tetapi, puasa sunat tidak sama seperti solat sunat sepertimana yang dijelaskan oleh syeikh kerana tempohnya yang singkat.[Rujuk Nihayah Al-Muhtaj, 3/212]

Hal ini termasuk menuntut ilmu, pergi ke masjid, bersedekah dengan harta sendiri dan sebagainya. Jika si isteri ingin melakukan perkara yang baik (makruf) seperti solat sunat di malam hari secara asasnya si isteri tidak perlu meminta izin daripada suami. Walaubagaimanapun, mengambil langkah yang lebih harmoni adalah lebih baik iaitu:

  1. Si isteri perlu memastikan tanggungjawab utama terhadap suami dan keluarga diutamakan dan dilakukan dengan sebaiknya terlebih dahulu.
  2.  Si isteri memaklumkan kepada suami dengan baik dan berhikmah sebagai tanda hormat kepadanya jika keadaan mengizinkan.
  3. Jika si isteri sudah selesai menunaikan ibadahnya sebagaimana yang telah dibenarkan hendaklah dia segera menunaikan kehendak suami jika diminta.

Di samping itu, bagi si isteri jadikanlah waktu solat malam ini waktu yang terbaik untuk mendoakan kebaikan dan taufiq hidayah buat diri, suami dan keluarga. Bagi setiap hamba, masa yang patut ada dalam kehidupan sehariannya adalah masa yang khusus untuk beribadah dan bersendirian dengan Allah SWT. Solat sunat di pertengahan malam adalah waktu yang terbaik untuk membina kekuatan rohani, bermunajat dan bermuhasabah diri kepada Allah SWT. Kata Imam Masruq Rahimahullah:

إن المرء لحقيق أن تكون له مجالس يخلو فيها ، يتذكر فيها ذنوبه ، ويستغفر منها

Maksudnya: setiap orang itu sepatutnya mempunyai masa bersendirian (dengan Allah SWT), mengingati dosa-dosanya dan meminta ampun atas dosa-dosanya tersebut.

Moga dengan usaha baik itu, akan memudahkan kehidupan berkeluarga secara keseluruhannya dan mempermudah jalan seseorang isteri itu untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadis yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta'at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. (Riwayat Ibn Hibban)

Kesimpulan

Berdasarkan penyataan diatas, secara asasnya, seorang isteri wajib mentaati suami dalam segala perkara yang makruf (tidak bertentangan dengan syarak). Bagi isteri terdapat hak yang perlu ditunaikan terhadap suami begitu juga sebaliknya bagi suami. Dalam hal ini, para ulama tidak meletakkan solat sunat dalam hal yang perlu isteri meminta izin kepada suami. Walaubagaimanapun, mengambil langkah yang lebih harmoni adalah lebih baik dengan memastikan tanggungjawab utama terhadap suami dan keluarga diutamakan dan dilakukan dengan sebaiknya terlebih dahulu. Selain itu, si isteri juga boleh memaklumkan kepada suami tentang perkara yang isteri hendak lakukan jika keadaan mengizinkan. Jika perkara ini dapat dipastikan dengan baik, mudah bagi suami untuk bertoleransi dan memahami niat baik si isteri. Moga menjadi pahala buat seorang wanita yang bersabar dalam berdakwah dan mendoakan kebaikan buat ahli keluarganya.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 434

message user image