BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz.

Saya sgt memohon agar mendapat penjelasan dan jalan penyelesaian ttg masalah saya hadapi. 
masalah ini membuatkan saya hampir2 kemurungan atau putus asa hidup. 
 

saya seorang suami mempunyai isteri dan seorang anak 8 bulan. kedua ibu bapa saya masih hidup dan ayah saya masih berkerja (gaji boleh tahan besar) . 

saya & isteri dua2 kerja, tetapi gaji kami mmg cukup2 makan sampai hujung bulan, kdg2 saya kene buat part time utk kelansungan hidup keluarga kecil kami ni. 
 

masalah saya adalah, mak saya demand duit bulanan dari saya sebanyak rm1000 setiap bulan, yg mmgnya saya tak mampu, tetapi mak saya tidak peduli dan dia menuduh isteri saya mengawal duit saya sehingga dia tidak dpt rm1000 sebagai bulanan. 
 

Mak saya sampai menyerang kedua mertua saya serta mengatakan bahawa isteri saya anak menantu yg tidak baik. Mak saya juga berkata ikut hukum agama 100% duit gaji saya sepatutnya diutamakan kepada dia baru isteri serta anak saya. Dan dia berkali2 mengatakan saya anak derhaka. 

soalan saya ustaz, adakah saya mmg anak derhaka? Kerana tidak dpt memberi duit bulanan seperti yg diminta oleh ibu saya? Dan apakah keutamaan dlm agama islam dlm kes saya ini berkaitan gaji bulanan saya, siapakan yg saya harus utamakan gaji saya setiap bulan? 

Dan mcm mana jalan penyelesaian terbaik utk keadaan saya ustaz? Skrg Saya sampai satu tahap saya dah hilang arah , saya hampir nak gila ustaz. Saya sgt mohon2 penjelasan daripada ustaz. Terima kasih saya dahulukan kepada ustaz kerana sudi mengambil kes saya. Assalamualaikum 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bagi menjawab persoalan tuan di sini dikongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa. 

Mafhum daripada hadis di atas menunjukkan ‘فَلِأَهْلِكَ’ lebih kepada isteri dan anak-anak. Justeru, selama mana ia menjadi tanggungjawab terhadapnya, maka tanggungjawab kepada isteri adalah diutamakan kecuali dalam keadaan darurat, ibu memerlukan bantuan, maka ketika itu hendaklah diberikan kepadanya.

Manakala dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

تَصَدَّقُوا ، فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ ، فَقَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ: أَنْتَ أَبْصَرُ

Maksudnya: “Bersedekahlah.” Seorang lelaki bertanya: “Hai Rasulullah, aku mempunyai dinar.” Baginda menjawab: “Sedekahkan untuk diri kamu sendiri.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai dinar yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada isteri engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.”Baginda berkata: “Sedekahkan kepada anak engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada hamba engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku masih ada yang lain lagi.” Baginda berkata: “Engkau lebih tahu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ie)

Hadis ini dengan jelas menunjukkan tanggungjawab kepada isteri adalah yang utama selepas diri sendiri.

Menurut kitab Raudhah at-Thalibin Imam Nawawi menyebut: Apabila berhimpun pada seseorang, orang-orang yang berhajat daripada mereka yang diwajibkan memberi nafkah pada mereka, maka sekiranya hartanya cukup untuk menafkahkan semuanya, maka dia wajib menafkahkan semuanya. Namun, sekiranya hartanya tidak lebih kecuali untuk seorang, maka hendaklah mengutamakan nafkah untuk isteri berbanding nafkah untuk keluarga lain. 

Menurut kitab Mughni al-Muhtaj para ulama’ menyebut, memberi nafkah kepada ibubapa adalah tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan berikut:

  • Ibubapanya miskin dan memerlukan bantuan.
  • Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya. Syarat ini disepakati oleh para ulama’. 

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan: Jika bilangan usulfuru’ dan yang lainnya yang memerlukan nafaqah adalah ramai, sedangkan lebihan keperluan dirinya tidak mencukupi untuk diberi kepada kesemuanya, dia hendaklah memenuhi keperluan dirinya sendiri dengan memberi keutamaan berdasarkan kepada susunan yang berikut:

  • Isteri. Hal ini demikian kerana nafaqah kepada isteri adalah pasti. Ia tidak gugur dengan berlalunya masa. Hal ini berbeza dengan nafaqah usul dan furu’ yang gugur dengan berlalunya masa.
  • Anak yang masih kecil. Hal ini sama juga dengan anak yang dewasa, tetapi gila kerana mereka tidak mampu untuk bekerja.
  • Ibu. Ini kerana ibu juga tidak mampu untuk bekerja dan haknya telah pasti disebabkan ibulah yang mengandung, melahir, menyusu dan mendidik anak sehingga meningkat usia.
  • Bapa. Ini kerana kelebihan bapa yang cukup besar terhadap keluarga.
  • Anak yang dewasa tetapi fakir, kerana hampirnya hubungan dengan bapanya. Hubungan yang hampir dan rapat ini mempunyai kelebihan yang tersendiri.
  • Datuk dan ke atas. Ini bertujuan untuk menghormati datuk dan sama juga untuk menghormati bapa. Datuk merupakan asal keturunan dan haknya wajib dijaga serta dipelihara.

Berdasarkan pandangan para ulama' ini, dapat difahami bahawa nafkah kepada isteri adalah didahulukan, kecuali dalam keadaan ibubapa yang tidak berkemampuan dalam menyediakan ubatan, rawatan dan makan minum yang menjadi asas kehidupan mengikut kadar keperluannya. Ketika itu, ia hendaklah didahulukan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan mereka. Dalam isu seperti ini juga, perlu ada keselarasan dan persefahaman oleh semua anak-anak ibu atau bapa untuk sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga, membantu dan berkhidmat kepada kedua ibubapanya. Dengan cara ini, tidaklah terbeban kepada satu-satu anak sahaja sedangkan yang lain semua bersikap lepas tangan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 137

message user image