Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Soalan saya, adakah dikira zihar jika seorang suami menyamakan potongan rambut isterinya dgn rambut anak saudaranya(suami) dan juga menyamakan keadaan perut isterinya yang agak buncit dengan keadaan perut ibunya (suami) dalam keadaan bergurau, tiada niat yang lain. Sekian.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, perkataan yang dilafaz oleh suami : “menyamakan potongan rambut dengan rambut anak buahnya dan menyamakan keadaan perut isterinya dengan perut ibunya walau dalam keadaan bergurau”, itu merupakan lafaz zihar yang sarih (jelas). Lafaz sarih ini tidak memerlukan kepada niat, selagi mana seorang suami itu waras dan memahami apa yang dikatakannya. Hukum zihar adalah haram. Namun, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak. Suami perlu membayar kaffarah zihar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah, ayat 2 – 4 :
Maksudnya : Seseorang yang menziharkan isteri nya dalam kalangan kamu (adalah orang yang bersalah kerana) isteri mereka itu bukanlah ibu mereka. lbu mereka hanyalah perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan suatu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. Orang yang menziharkan isterinya, kemudian menarik kembali ucapannya, (bahawa isterinya itu haram kepadanya) maka (suami itu) hendaklah memerdeka kan sebarang hamba sebelum mereka (suami isteri itu) bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepadamu (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu lakukan. Bagi sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba sahaya) maka (dia wajib) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum kedua-duanya (suami isteri itu) bercampur. Tetapi sesiapa yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Demikianlah agar kamu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat Jahiliah). ltulah hukum-hukum Allah dan bagi mereka yang mengingkarinya akan mendapat azab yang sangat pedih.
Mengikut keutamaan seperti berikut: i. Membebaskan (memerdekakan) seorang hamba Muslim, jika tidak mampu; ii. Berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu; iii. Memberi makan enam puluh orang miskin dengan secupak beras setiap seorang atau dinilaikan harga makanan tersebut.
Sekian, terima kasih.