BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum... 

Kebiasaan haid saya 7 hari..Tetapi ada 1 bulan tu tak datang haid..bulan berikutnya baru haid.. Tapi mengambil masa 12 hari..selang 3 hari keluar lagi.. Tapi mengeluarkan bau yang sangat busuk..tidak terus menerus keluar..kes begini pertama kali dalam hidup saya..soalan saya 1)adakah kategori istihadah?  2)adakah wajib mandi bersih?. Terima kasih

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada soalan puan, darah yang keluar selepas 15 hari adalah dikira istihadah seperti mana kiraan puan iaitu telah haid 12 hari kemudian selang 3 hari terdapat darah keluar tetapi tidak terus menerus. Darah yang masih lagi keluar selepas tempoh maksimum haid 15 hari merupakan darah istihadah (penyakit) dan puan wajib mandi serta solat seperti biasa.

Huraian

Asas jawapan bagi persoalan puan adalah kita perlu mengetahui terlebih dahulu takrif darah haid dan istihadhah. Kitab al-Fiqh al-Manhaji memberikan istilah haid sebagai berikut:

حيض في اللغة: السيلان. يقال حاض الوادي إذا سال. وفي الشرع: دم جبلة ـ أي خلقة وطبيعة ـ تقتضيه الطباع السليمة يخرج من أقصى رحم المرأة بعد بلوغها على سبيل الصحة، في أوقات معلومة.

Maksudnya: “haid dari segi bahasa ialah mengalir. Manakala dari segi syara’ haid ialah darah semulajadi yang normal, yang keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.” [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji 1/77]

Berdasarkan takrif di atas, dapat difahami bahawa darah haid itu ialah darah yang keluar pada waktu yang normal dan dalam keadaan sihat. Justeru, darah yang keluar bukan pada waktu kebiasaan normal dan akibat penyakit adalah bukan darah haid, dan dianggap sebagai darah fasad atau darah istihadhah. Kitab al-Fiqh al-Manhaji juga mendefinisikan darah istihadah sebagai:

دم علة ومرض يخرج من عرق من أدنى الرحم يقال له العاذل

Maksudnya: “Darah Istihadhah ialah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai al-‘Azil (العاذل).” [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/79)]

Manakala berkenaan tempoh haid, ia berlaku dalam beberapa keadaan melibatkan tempoh maksimum, tempoh minimum dan tempoh kebiasaan haid. Tempoh maksimum haid adalah 15 hari, tempoh minimum haidh adalah sehari semalam (24 jam) dan tempoh kebiasaan haid adalah 6 atau 7 hari bergantung kepada kebiasaan tempoh haid wanita tersebut. Tempoh suci minimum antara haid adalah 15 hari. Jika berlaku putus darah haid tetapi masih dalam tempoh 15 hari maksimum ia masih dianggap sebagai darah haid. Maka selebihnya merupakan darah istihadhah [kitab al-Fiqh al-Manhaj (1/78) & Matan Safinah al-Najah (29)]

Kesimpulan

Tempoh maksimum haidh adalah 15 hari, maka darah yang keluar semula selepas tempoh maksimum tersebut walaupun selang 3 hari seperti persoalan puan ia adalah darah istihadhah. Hukum darah istihadhah tidak menghalang daripada melaksanakan ibadah solat. Maka, wanita yang mengalami istihadhah mestilah mengikut tatacara wanita istihadhah iaitu bersuci sebelum mendirikan solat.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 195

message user image