Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah ajaran sesat yang berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang dan apakah manhaj yang dipegang oleh ajaran sesat itu yang membuktikan ajaran itu bertentangan dengan landasan syariat Islam.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan, Ajaran sesat yang melanda Malaysia dan khususnya di Selangor sememangnya isu yang tidak pernah berkesudahan dan bahkan ia pernah menjadi ancaman kepada Malaysia seperti kewujudan Kumpulan Al-Maunah yang membawa retorik jihad islamiah. Begitujuga Ajaran Tuhan Harun yang mana pelampaunya telah membunuh Pegawai Agama di Pahang. Bahkan banyak lagi kumpulan-kumpulan sesat yang membawa ajaran seakan sama dan ianya masih aktif diamalkan.
Paling mudah untuk melihat ajaran itu adalah sesat atau tidak adalah dari segi doktrin yang dibawa adalah bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Imam al-Shafie pernah berkata, “Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah.” bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW). (Riwayat Imam Malik)
Di Selangor terdapat lebih 40 ajaran sesat yang telah difatwakan haram untuk diamalkan. Sehingga kini ajaran yang pernah difatwakan sesat adalah Ajaran Qadiani / Ahmadiah, Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama, Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Bin Jonit dan lain-lain. Keseluruhan kumpulan-kumpulan ajaran sesat menggunakan manhaj akal dan nafsu semata-mata khususnya dalam menafsir ayat-ayat al-Quran dan hadis supaya sesuai dengan kehendak kumpulan terbabit.
والله أعلم بالصواب