Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaumualaikum .....Sya ingin bertanya...tentang iddah seorang isteri yg telah kematian suami adalah selama 4 bln 10 hari. Baru baru ini ibu saya telah kematian suami ...umur ibu sya sekarang 75 thn ..semasa hayat bapa sya kedua org tua saya tinggal bersama sama sya. adakah ibu sya wajib tinggal di rumah saudara lain yg berhampiran dangan kubur bapa saya ( cth: bapa saya dikebumikan di perak dan saya tinggal di selangor maka ibu sya wajib tinggal di perak sehingga tempoh edah selesai )maksudnya ibu sya tidak blh keluar dari perak selama tempoh idah tersebut...mohon penjelasan...memandangkan ibu sya ingin tinggal dangan saya tetapi terpaksa menunggu sehingga eddah selesai.ibu sya tidak selesa tinggal bersama anak yg lain.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, seorang isteri yang kematian suami perlu beriddah selama 4 bulan 10 hari berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 234:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.
Di dalam tempoh tersebut isteri juga diwajibkan untuk ihdad atau berkabung, iaitu isteri dilarang untuk keluar dari rumah kecuali di dalam keadaan tertentu yang mendesak. Isteri juga ditegah daripada berhias atau memakai perhiasan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ummu 'Atiyyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ، أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا، إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ، وَلَا تَكْتَحِلُ، وَلَا تَمَسُّ طِيبًا، إِلَّا إِذَا طَهُرَتْ، نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ
Maksudnya: Seorang wanita dilarang berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecuali atas kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Janganlah dia memakai pakaian yang dicelup kecuali pakaian ‘asab (kain berasal dari Yaman yang diperbuat daripada benang yang yang dicelup dengan warna kemudian dipintal), janganlah memakai celak, jangan memakai minyak wangi kecuali ketika dia bersuci daripada haid, hendaklah dia mengambil sepotong qusth atau azhfaar (sabun bagi tujuan menghilangkan bau darah dan bukan tujuan berwangi-wangian). (Riwayat Muslim)
Seorang isteri yang sedang beriddah kerana kematian suami perlu tinggal di rumah yang didiami bersama dengan suami semasa hayat suaminya. Tidak dibenarkan baginya keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja mendapatkan rawatan perubatan membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
Tidak dibenarkan juga berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
Dalam situasi ibu puan, walaupun suaminya dikebumikan di Perak, beliau perlu tinggal di rumah yang menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan di Selangor iaitu tinggal di rumah bersama-sama dengan puan.
والله أعلم بالصواب