Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan. Ini soalan saya. Mohon pencerahan.
1. Adakah sesuatu sumpah dengan nama ALLAH akan kekal sampai bila - bila walaupun telah dilanggar berkali - kali?
2. Apakah boleh saya membatalkan sumpah dengan nama ALLAH berkenaan kerana dibimbangi akan melanggarnya lagi pada masa akan datang? Saya pernah bersumpah dengan nama ALLAH beberapa tahun yang lalu tidak akan beronani tetapi berkali - kali telah melanggarnya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Di dalam Islam, bersumpah dengan nama ALLAH bukanlah ucapan yang boleh dibuat main-main. Orang yang bersumpah wajib melaksanakan sumpahnya dan perlanggaran sumpah akan dikenakan kaffarah atau denda. Merujuk kepada persoalan dari pihak tuan:
1. Ya, sesuatu sumpah dengan nama ALLAH akan kekal sampai bila-bila walaupun telah dilanggar beberapa kali. Seseorang itu akan berdosa selama kaffarah itu tidak ditunaikan. Walaupun sumpah itu dilanggar beberapa kali, namun jumlah kaffarah yang wajib ditunaikan hanyalah sekali. Apabila kaffarah itu telah ditunaikan atau dibayar, maka dengan sendirinya sumpah itu terbatal atau terputus.
2. Boleh membatalkan sumpah dengan membayar kaffarah sumpah seperti yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu dengan melakukan salah satu daripada tiga perkara tersebut:
Memberi makan kepada 10 orang miskin.
Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.
Memerdekakan seorang hamba sahaya.
Jika tiga perkara itu tidak dapat ditunaikan, maka perlu berpuasa selama tiga hari. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 89:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.”
Walau bagaimanapun, pilihan kaffarah dengan berpuasa hanya dibenarkan sekiranya perlanggaran sumpah telah berlaku.
Sumpah yang telah dibuat, iaitu meninggalkan onani, adalah wajib ditunaikan kerana ia merupakan sumpah meninggalkan perkara yang haram. Namun, tuan wajib membayar kaffarah apabila telah melanggar sumpah tersebut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.