Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya. Semasa saya bekerja, saya perlu mengisi sotong ke dalam sebuah bekas dan menimbangnya sebanyak 600g. Selepas selesai mengisi sotong tersebut, menimbang, mengisi air ke dalam bekas-bekas tersebut untuk tujuan pembekuan dan melabelkan bekas tersebut dengan harga untuk 600g, lalu saya menyimpan bekas-bekas tersebut untuk dibekukan. Walaubagaimanapun, selepas beberapa jam telah berlalu, secara tiba-tiba saya merasakan bahawa yang saya tidak menimbang satu atau dua bekas sotong tersebut dan saya juga berasa bahawa satu atau dua bekas tersebut tidak mencukupi 600g. Tetapi saya juga rasa bahawa saya telah menimbangnya sebanyak 600g. Perasaan ini menjadi ulang alik dan ianya membuatkan saya tidak tenteram. Saya cuba untuk mengeluarkan bekas-bekas tersebut dan menimbangnya kembali tetapi air dalam bekas-bekas tersebut telah hampir beku. Sekiranya saya hendak defrost sotong-sotong, keluarkan air-airnya dan menimbang semula, ia akan mengambil masa yang lama. Apakah yang akan terjadi kepada gaji saya sekiranya sotong-sotong tersebut dijual? Saya berasa amat risau dan gelisah. mohon pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه
Merujuk kepada persoalan saudara, berdasarkan kepada situasi yang dinyatakan menunjukkan itu adalah prasangka dan was-was yang datang selepas melakukan sesuatu pekerjaan. Saudara hanya perlu melakukan kerja dengan sebaik-baiknya, menimbang mengikut sukatan yang diarahkan. Setelah yakin betul dan tepat, maka tidak perlu lagi memikirkan perasaan dan sangkaan yang timbul. Perasaan atau sangkaan tersebut adalah suatu bisikan yang perlu dielakkan. Namun, bagi menghadirkan keyakinan maka saudara perlu memastikan telah mengikuti semua langkah dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak majikan. Dan jika terdapat kesilapan yang tidak disengajakan, semoga Allah SWT memaafkan kesilapan tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِيْ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta’ala memaafkan umatku karena aku (disebabkan beberapa hal): Kesalahan (yang tidak disengajakan), lupa dan segala sesuatu yang dipaksa. (Riwayat Ibnu Majah)
Manakala sesuatu yang telah diyakini diawalnya tidak dapat digugat dengan suatu sangkaan yang datang selepasnya. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 36:
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya: Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi kebenaran walau sedikit pun.
والله أعلم بالصواب