Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...Saya dan suami telah berkahwin selama 15 tahun dan selama 15 tahun ini kami tinggal berasingan kerana saya bekerja di Selangor dan dia di Kelantan. Sesekali kami akan berjumpa samada dia dtg ke Selangor atau saya balik ke Kelantan. Setahun mungkin 2-3 kali. Kami mempunyai seorang anak yang kini berusia 14 tahun, saya jaga sepenuhnya. Sepanjang perkahwinan, suami tidak memberikan sebarang nafkah zahir kecuali RM200 kepada anak setiap kali berjumpa (2-3 kali setahun) dan dia akan memberitahu pada anak secara jelas yang duit itu untuk anak saya. Nafkah batin pula telah terhenti semenjak kelahiran anak 14 tahun yang lalu. Perbelanjaan saya di Selangor termasuk perbelanjaan anak semuanya menggunakan duit saya.
Kami berdua berkerja sebagai guru dan tiada masalah kewangan. Saya redha dengan apa yang berlaku dan tidak pernah merungut atau meminta apa2 dgn suami cuma saya mengaku yang sesekali saya berasa agak kecewa dgn sikap suami yang lepas tangan dan saya akui juga yang perasaan kasih pada dia juga sudah seakan hilang. Namun saya teruskan perkahwinan kerana kasihankan anak dan sedar yang saya sendiri tidak melaksanakan tanggungjawab saya sebagai isteri kerana duduk berjauhan.
Namun baru2 ini ada seorang saudara saya menasihatkan saya supaya merujuk kepada pejabat agama mengenai satus perkahwinan kami kerana dia rasa telah jatuh talak berdasarkan lafaz taklik negeri Kelantan yang berbunyi:
“Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya.
Atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.”
Persoalan saya: Adakah betul jatuh talak walaupun saya redha dan saya tidak pernah mengadu kepada mana2 kadi/hakim syarak?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Situasi yang puan ceritakan adalah berkaitan talak taklik iaitu menyandarkan jatuhnya talak dengan perkara yang lain. Contoh yang mudah difahami adalah seperti sekiranya suami menyatakan kepada isterinya " jika kamu keluar dari rumah ini maka jatuh talak ". Disebabkan lafaz talak secara taklik tersebut, talak hanya akan jatuh apabila isteri keluar daripada rumah tersebut.
Berbalik kepada situasi puan, lafaz taklik yang dinyatakan tidak memberi kesan secara otomatik tetapi bersyarat iaitu dengan syarat satu aduan dibuat di hadapan mana-mana hakim dan disabitkan sah oleh hakim tersebut aduan tersebut. Perkara ini boleh dirujuk melalui lafaz taklik yang disebut " ....atau (nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.”. Bermaksud selagi puan tidak membuat aduan kepada kadi atau hakim, maka talak tidak berlaku dan ikatan perkahwinan masih sah menurut Hukum Syarak.
والله أعلم بالصواب