BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam, apakah hukum lelaki memakai inai 3 jari di hari pernikahan? 


message user image

Jawapan  

Alaikumussalam warahmatullah.

Pemakaian inai bagi lelaki sama ada pada tangan atau kaki atas dasar berhias hukumnya haram kerana asasnya inai sinonim digunakan sebagai perhiasan bagi wanita. Hal ini berdasarkan makna umum hadis riwayat Ibn Abbas ini:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Maksudnya: "Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki. (Riwayat al-Bukhari)

Namun begitu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 juga telah mengadakan perbincangan mengenai pemakaian inai ini dibawah tajuk “Hukum Pemakaian inai Bercorak Mengikut Syarak” yang bersidang pada 2 Oktober 2009. Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara bahawa:

  1. Pemakaian inai pada kedua-dua tangan dan kaki diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan bahan yang mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa-apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Kesimpulannya, berdasarkan perkara 3 di atas, pemakaian inai pada 3 jari bagi lelaki di hari pernikahan atau perkahwinan hukumnya harus. Selain itu, dinasihatkan kepada semua pihak agar bersederhana dalam berhias agar tidak terjerumus kepada kemaksiatan dan dosa.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamalkan dan menghayati agama-Nya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 423

message user image