BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya bercadang untuk mengerjakan ibadah umrah bersama2 isteri dan seorang anak perempuan berumur 1 tahun

Isteri saya merasakan beliau tidak yakin untuk melakukan ibadah umrah dengan fokus kerana kami membawa anak kami yang masih kecil. Beliau merasakan agak terbeban kerana mungkin dia tidak dapat fokus kepada ibadah umrah kerana menguruskan anak kami. Tambahan ini merupakan ibadah umrah dia yang pertama dan beliau masih tiada gambaran/pengalaman bagaimana ibadah umrah dilakukan. Jika tinggal kan anak kami yg berusia 1 tahun, isteri saya tidak tegar utk berbuat sedemikian atas faktor sayang dan risau.

Soalan:

Apa pandagan ustaz mengenai situasi isteri saya ini? Perlukah kami tidak membawa anak kami kerana perlu fokus kepada ibadah umrah? Atau apa nasihat ustaz mengenai perkara ini.

Sekian,

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syarak’ pula bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu pada masa menunaikan haji. Hukum mengerjakan umrah ialah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Berdasarkan persoalan tuan, adalah dinasihatkan agar tuan dan keluarga tidak perlu khuatir dan was-was kerana Allah sentiasa mempermudahkan urusan ibadah kita kepada-NYA. 

Terdapat beberapa cadangan yang boleh diambil kira seperti mengambil atau memilih travel agency yang “kids-friendly” dan menyediakan mutawwif yang dapat membantu jemaah bukan sahaja pengurusan semasa pelepasan di KLIA  tetapi  sehingga pulang ke tanah air. 

Selain itu, tuan juga digalakkan untuk bertanya dengan rakan-rakan yang pernah membuat umrah dan mereka membawa anak. Tuan boleh bertanyakan pengalaman pada mereka tentang cara pengurusan melakukan ibadah dengan membawa anak.

Paling penting tuan dan isteri perlulah membuat persiapan mental dengan anak tuan yang mana banyakkan bercakap dan bercerita dengan anak tentang Makkah dan Madinah sama ada dengan cara menonton video, melihat gambar ka'bah dan berbicara tentangnya.Tuan juga boleh menunjukkan gambar kanak-kanak di sana. Di sini lah tempatnya, Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk ibu bapa dan anak-anak beribadah bersama-sama (selain di rumah) dan berkongsi nikmat dan kebesaran Allah. Di sini lah juga tempatnya untuk anak-anak memerhati (walaupun mungkin belum lagi faham) betapa Tanah Suci inilah semua umat Nabi Muhammad SAW berkumpul dan bersatu menunaikan ibadah, cerita-cerita Nabi dan Rasul lebih realistik untuk digambarkan pada anak-anak.

Di samping itu, dari segi beribadah, tuan digalakkan  menambahkan ilmu  pengetahuan tentang cara solat sambil mendukung anak sekiranya mereka menangis. Kelengkapan yang cukup untuk anak kecil juga perlu diambil kira apabila berada di tanah suci seperti dari segi pakaian, lampin, susu dan makanan dan juga ubat-ubatan, perlulah dibawa secukupnya. Selain itu juga, tuan boleh menyediakan beberapa mainan untuk anak bermain ketika di sana nanti terutama semasa di dalam penerbangan. 

Oleh yang demikian, adalah digalakkan agar tuan dan isteri dapat membawa anak-anak menunaikan ibadah Umrah bersama, janganlah memikirkan kepayahan, kerumitan beribadah dengan anak-anak kerana ibadah umrah ini sebenarnya ringkas sahaja. Insyaallah, Allah akan memudahkan urusan tuan dan isteri dalam membuat ibadah umrah ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT  di dalam surah al-Baqarah ayat 196: 

وَاَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلّٰهِ ۗ فَاِنْ اُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِۚ وَلَا تَحْلِقُوْا رُءُوْسَكُمْ حَتّٰى يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهٗ ۗ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيْضًا اَوْ بِهٖٓ اَذًى مِّنْ رَّأْسِهٖ فَفِدْيَةٌ مِّنْ صِيَامٍ اَوْ صَدَقَةٍ اَوْ نُسُكٍ ۚ فَاِذَآ اَمِنْتُمْ ۗ فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ اِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِۚ فَمَنْ لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلٰثَةِ اَيَّامٍ فِى الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ اِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗذٰلِكَ لِمَنْ لَّمْ يَكُنْ اَهْلُهٗ حَاضِرِى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۗ وَاتَّقُوا اللّٰهَ وَاعْلَمُوْٓا اَنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ ࣖ

Maksudnya:  Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah karena Allah. Tetapi jika kamu terkepung (oleh musuh), maka (sembelihlah) hadyu yang mudah didapat, dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum hadyu sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antara kamu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu dia bercukur), maka dia wajib berfidyah, yaitu berpuasa, bersedekah atau berkurban. Apabila kamu dalam keadaan aman, maka barangsiapa mengerjakan umrah sebelum haji, dia (wajib menyembelih) hadyu yang mudah didapat. Tetapi jika dia tidak mendapatkannya, maka dia (wajib) berpuasa tiga hari dalam (musim) haji dan tujuh (hari) setelah kamu kembali. Itu seluruhnya sepuluh (hari). Demikian itu, bagi orang yang keluarganya tidak ada (tinggal) di sekitar Masjidilharam. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah sangat keras hukuman-Nya.

Di samping itu, terdapat juga cabaran yang perlu dihadapi bilamana membawa anak ke sana. Antaranya ialah tuan perlulah membuat persediaan mental dari pelbagai sudut. Terutama jika anak tidak sihat sepanjang berada di sana. Dalam erti kata lain tuan perlulah bekerjasama dengan isteri untuk bergilir menjaga anak. Tuan juga digalakkan untuk membawa ubat-ubatan anak supaya urusan disana menjadi lebih mudah. Oleh yang demikian, semua perkara diatas merupakan cadangan dan cabaran ketika mana membawa anak. Namun, keputusan untuk membawa anak adalah di tangan tuan. Ini adalah kerana tuan yang lebih mengetahui keadaan dan kesediaan diri untuk melalui hari-hari semasa berada di sana. Oleh itu, berbincanglah dengan isteri tuan untuk tindakan dan keputusan yang terbaik. Insha Allah, macam-macam rezeki daripada Allah apabila berada di sana. Doa, niat dan tawakal. Semoga Allah permudahkan urusan tuan sekeluarga. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 210

message user image