Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Isteri telah terlanjur sekali tanpa pengetahuan suami dan telah bertaubat dan menyesal sesungguh sungguh nya semoga Allah menerima taubatnya, Tetapi terhadap suami, si isteri hanya bagitahu hanya curang bukan perihal terlanjur. Si isteri telah memohon maaf tetapi tidak cerita sepenuhnya dan secara terperinci untuk menutup aib diri dan takut akan penceraian macam mana hukum nya? Adakah permohon maaf itu dikira diterima ? adakah perlu terus terang tentang semua ? Si suami tidak tanya lebih lanjut dan telah memaafkan. Sekiranya, akan datang suami bertanya adakah pernah berzina si isteri perlu mengaku atau terus menutup aib dengan menidakkan? Adakah di akhirat kelak turut dibuka semula? Sekiranya suami telah memaafkan atau redha secara umum sahaja? Betulkah Balasan di akhirat pada isteri akan terlepas jika isteri ini meminta maaf pada suaminya semasa di dunia ini Dan suami memaafkannya semasa di dunia ini, permohonan maaf itu secara umum atau secara terperinci ? Akhir kata, masih ada peluang kah untuk menjadi isteri solehah dan hanya taat kepada suami adakah dosa ini dapat diampun kan ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan; secara asasnya hukum berzina adalah salah satu daripada dosa besar di sisi Allah SWT selepas dosa mensyirikkan Allah SWT dan membunuh. Walau bagaimanapun, dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah SWT kepada hamba-Nya, Allah SWT memberikan satu jalan untuk kembali kepada dengan jalan taubat. Berdasarkan Surah Al-Furqan ayat 68-71:
وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (68) يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (69) إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (70) وَمَنْ تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَابًا (71)
Maksudnya: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya (68) Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan (69) Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (70) Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat (71)
Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan. Maka,teruskan bertaubat dan mintalah kepada Allah SWT supaya Allah menerima taubat yang dilakukan. Ketahuilah Allah benar-benar memberi keampunan kepada sesiapa yang memintanya.
Berbalik kepada persoalan kesalahan zina yang berlaku kepada puan, Maha suci Allah yang telah memberi hidayah puan untuk kembali kepada-Nya, taat kepada Allah SWT dan menyesali perbuatan puan dengan bertaubat. Semoga Allah menerima dan mengampuni dosa-dosa yang telah dilakukan.
Apabila seseorang wanita berzina dalam keadaan mempunyai suami, kesalahan ini tertumpu pada hak Allah dan hak suami. Jika seseorang yang telah berzina bertaubat dengan sesungguhnya maka ia telah memenuhi hak Allah dalam masa yang sama hak suami juga terpelihara. Hal ini kerana, dengan taubat, Allah akan mengampuni dosanya, dengan kebaikan terus berbakti kepada suami, Allah akan meredai diri dan suaminya di dunia serta bertambah timbang kebaikan buat wanita tersebut. Maka janganlah merosakkannya dengan memberitahu kepada orang lain termasuk kepada suami sendiri. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَسْتُرُ اللَّهُ عَلَى عَبْدٍ فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.
(Riwayat Muslim)
Ini adalah salah satu antara tanda kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya iaitu Allah menyembunyikan aib hamba-hamba-Nya di dunia. Hal ini termasuk dosa-dosa yang dilakukan seseorang sepanjang hidupnya. Tiada sesiapa yang mengetahui tentang aib seseorang sehingga orang itu membongkarkannya kepada manusia yang lain. Jika seseorang telah melakukan zina dan meninggalkan dosa tersebut lalu membongkarnya maka lebih besar mafsadah yang akan berlaku kepadanya. Kesannya, akan timbul perselisihan antara suami isteri, pergaduhan antara keluarga, anak hilang rasa hormat terhadap orang tuanya, tersebar berita yang boleh menganggu ketenteraman keluarga seseorang, malah boleh membawa kepada perkara yang dahsyat iaitu berlakunya pembunuhan atas sebab dasar tidak berpuas hati atas kesalahan ini.
Oleh itu, usahakan sehabis baik untuk mengantikan perasaan serba salah atas kesalahan yang berlaku dengan ketaatan yang lebih kepada Allah dan juga suami. Selain itu, bermohonlah kepada Allah untuk dikurniakan kekuatan dan istiqamah untuk terus bertaubat dan menjadi hamba Allah yang solehah di dunia dan di akhirat. Moga dengan usaha murni itu, Allah SWT menambah sakinah, mawaddah dan rahmat serta keadaan rumah tangga yang lebih lapang dan harmoni dan lebih baik daripada sebelumnya. Firman Allah SW dalam Surah Al-Nisa ayat 100:
وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Moga Allah mengampuni dosa dan mengurniakan rahmat kepada orang yang berusaha bertaubat kepada-Nya. Diriwayatkan daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya:Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat.
(Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin.
والله أعلم بالصواب