BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Saya ingin bertanya, saya dan rakan saya bercadang untuk menyertai ''Night of Fright'' yang dianjurkan oleh Sunway Lagoon. Namun, kami ragu-ragu sekiranya program tersebut menyerupai dan mempunyai unsur sambutan halloween yang kebiasaannya disambut oleh agama kristian pada 31 Oktober. Jadi apakah hukumnya? Mohon pencerahan, terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan Puan adalah dilarang berkunjung ke rumah hantu dan seumpamanya sebagaimana yang telah difatwakan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bahawa pameran jin, hantu dan keranda, pameran alam misteri serta yang berkaitan dengannya adalah ditegah oleh Islam kerana ia boleh mendatangkan mudarat pada akidah umat Islam. Hal ini kerana manusia tidak dapat mencapai hakikat sebenar alam misteri jin dan hantu. Umat Islam tidak seharusnya dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seperti ini.

“Night of Fright” yang dianjurkan oleh Sunway Lagoon adalah pameran yang melibatkan unsur pameran jin, hantu dan seumpamanya yang menakutkan individu yang menyertai program ini. Bahkan dikhuatiri program ini menyerupai unsur sambutan Halloween yang disambut oleh agama Kristian yang bertentangan dengan akidah umat Islam.

Kesimpulan

Kesimpulannya, adalah disarankan untuk menjauhi perkara yang sia-sia yang tidak menambahkan iman dan amal. Kita digalakkan menyertai majlis ilmu atau program yang bermanfaat bagi menambahkan ilmu berkenaan agama atau menjauhi perkara yang boleh merosakkan akidah terutamanya. Mendengar, menonton rancangan atau pameran yang berunsurkan mistik secara berlebihan ditakuti akan membawa kepada ketahayulan, kesyirikan dan sebagainya yang boleh menggangu gugat akidah umat Islam.

Rujukan Fatwa Selangor :https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2005-2009/183-pameran-jin-hantu-dan-keranda-pameran-alam-misteri-serta-yang-berkaitan-dengannya

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 305

message user image