BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum wbt..

Saya ingin bertanya, mengenai hukum menggunakan applikasi Mod dalam pekerjaan sebagai rider penghantar makanan dan barang.

Untuk pengetahuan pihak tuan, applikasi mod ini ialah satu applikasi yang tidak dibenarkan / di banned oleh penyedia operator perkhidmatan penghantaran seperti grab, foodpanda, shoppee food dan sebagainya. Ada segelintir rider yang menggunakan applikasi ini untuk mendapatkan pesanan-pesanan dengan cepat dan pantas, Applikasi mod ini akan memintas setiap pesanan yang masuk ke dalam applikasi rider yang disediakan oleh operator grab, foodpanda, shopeefood dan akan dialihkan kepada rider yang menggunakan applikasi mod dalam beberapa saat walaupun rider tersebut berada diluar kawasan atau jauh dari vendor tersebut. 

Applikasi mod ini berfungsi sebagai pin locator dimana, setiap pesanan baru yang masuk ke dalam applikasi rider, mod ini akan bertindak seolah-olah rider tersebut lebih hampir dengan lokasi vendor berbanding rider-rider lain yang berada disekitar kawasan tersebut. Sebagai contoh, lokasi di Mcdonald Sek 7 Shah Alam, berhampiran McD tersebut terdapat 5 orang rider yang berhampiran, namun dengan menggunakan applikasi mod, rider dari Sek 9 yang terdahulu menerima pesanan tersebut, walaupun seharusnya sistem applikasi rider secara automatik memilih rider yang paling hampir dengan McD sek 7. 

Kesan daripada penggunaan applikasi mod ini, menyebabkan ramai rider-rider yang tidak menerima sebarang pesanan masuk secara adil. Malah mereka terpaksa menunggu 2,3 jam sekadar untuk mendapatkan 1 pesanan yang hanya bernilai RM6. Mereka terpaksa berpanas, berhujan menunggu sehingga larut malam demi mendapatkan RM50 setiap hari berbanding rider menggunakan mod yang mana income mereka mencecah RM300 sehari. 

Mohon pencerahan dari pihak mufti, memandangkan ramai rider-rider menipu ini mengatakan tidak salah kerana tiada sebarang fatwa berkaitan penggunaan applikasi mod ini.

Terima kasih

Wassalam

  


message user image

Jawapan  

 وعليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dilakukan secara betul menurut neraca agama dan mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan selagi tidak bertentangan dengan agama. Semua peraturan ini hendaklah dipatuhi. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 34:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. 

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 المسلمونَ على شروطِهم

Maksudnya: Orang muslim dipegang atas syarat-syarat mereka (perjanjian yang dipersetujui). (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada penerangan saudara, dapatlah difahami bahawa penggunaan aplikasi tersebut mewujudkan sikap monopoli pelanggan dalam kalangan rider. Sebab itulah ia tidak dibenarkan oleh penyedia operator penghantaran sebagaimana yang saudara nyatakan. Aplikasi ini turut membawa kesan kepada hukum melakukan penipuan dalam pekerjaan, sifat tamak, persaingan secara tidak adil dan seumpamanya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 29 - 30 :

(29) یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا

(30) وَمَن یَفۡعَلۡ ذَ ٰ⁠لِكَ عُدۡوَ ٰ⁠نࣰا وَظُلۡمࣰا فَسَوۡفَ نُصۡلِیهِ نَارࣰاۚ وَكَانَ ذَ ٰ⁠لِكَ عَلَى ٱللَّهِ یَسِیرًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

Dalam ayat tersebut jelas Allah beri peringatan kepada kita agar tidak melakukan penipuan dalam apa jua bentuk muamalah sesama manusia. Justeru, jika penyedia telah membuat satu sistem sebagai garis panduan bagi semua rider maka ia hendaklah dipatuhi bagi memperoleh pesanan secara adil atau dibahagi secara saksama dan dikongsi antara rider-rider yang lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 490

message user image