BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, Saya Nak Tanya . Antara aqiqah dan qurban mana yg kena buat dahulu. Saya Ada Tanya harga sekor kambing antara rm900-1800 sekor. Klu siap masak semua dlm rm2800 ni package siap masak. Kalau kambing sunat di masak betul kan? utk duit banyak tu rasa mcm tak mampu. Klu qurban harga 650-750 sebahagian. Persoalan Saya. Saya Ada baby umur setahun boleh tak klu hanya buat qurban sahaja. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Ibadah qurban ialah ibadah sembelihan haiwan ternakan seperti unta, lembu, kibas dan kambing yang dilakukan pada hari raya Idul Adha iaitu pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik berikutnya iaitu 11,12,13 Zulhijjah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Manakala aqiqah ialah menyembelih haiwan ternakan yang dilakukan kerana menyambut bayi yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran. Hukum melaksanakan ibadah qurban dan aqiqah adalah sunat muakkad, ibadah sunat yang sangat dituntut melaksanakannya.

Merujuk kepada persoalan puan, aqiqah itu dituntut untuk dilaksanakan oleh ibu bapa kepada anak tersebut. Manakala qurban dituntut untuk dilaksanakan oleh setiap individu yang mempunyai kemampuan. Dalam hal ini, maka puan hendaklah mengutamakan sembelihan aqiqah untuk anak puan terlebih dahulu sebelum melakukan sembelihan qurban untuk anak tersebut. Puan boleh melaksanakan qurban setelah berkemampuan. Anak puan juga boleh melakukan sembelihan qurban ketika dia telah dewasa.

Para ulama juga berpendapat bahawa satu (1) ekor lembu mempunyai 7 bahagian yang boleh dikongsi bersama antara aqiqah, qurban atau selainnya. Daging aqiqah sunat dimasak manis sebelum disedekahkan atau dijamu makan kepada orang lain.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 84

message user image