Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam..saya bkerja di homestay dan sy dapati seorang india membawa anjing dan apabila kami brtanya kepadanya adakah dia mmbawa masuk anjing tersebut ke dalam bilik dan dia berkata tidak akan tetapi kami merasa was was.. Kemudian kami sertu semua cadar di dalam bilik tersebut dengan merendam cadar tersebut kedalam satu besen air yg bercampur dgn sabun taharah dan 6 kali jirusan air biasa.. Selepas beberapa hari sy ada terbaca bahawa tidak boleh merendam cadar trsebut kedalam besen kerana ruang besen kurang dari 2 kolah. Adakah sy perlu sertu semula semua cadar tersebut dan mesin basuh kerana selepas proses sertuan itu sy mnggunakan mesin basuh utk spin cadar tersebut dan adakah sy perlu sertu semua cadar yg dibasuh slepas mnggunakan mesin basuh tersebut?
Kemudian semasa proses sertuan itu pakaian saya terkena percikan air sertu itu adakah sy perlu sertu pakaian sy atau memadai dengan basuh mnggunakan air mutlak shja?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang ditanyakan, hukum asal sesuatu perkara/benda itu adalah suci sebagaimana kaedah Fiqah ada menyatakan:
الأصل في الأشياء الطهارة
Bermaksud: Hukum asal segala sesuatu adalah suci.
Ini bermakna sesuatu tempat atau barang adalah suci sehingga diyakini tempat atau barang itu terkena najis. Yakin terkena najis bermaksud mengetahui dengan melihat terdapat ain najis berkenaan. Tempat yang wajib dibersihkan dan disertu adalah tempat di mana ain najis itu berada. Adapun anjing yang dibawa oleh penginap berbangsa India di homestay berkenaan sama ada ianya dalam keadaan kering atau tidak dapat dipastikan keadaannya basah atau kering, maka ia tidak menjadikan kawasan yang tersentuh menjadi bernajis atau mutanajjis. Oleh itu:
1. Tidak boleh menganggap hampir keseluruhan barang kemudahan di dalam bilik tersebut telah bernajis atau mutanajjis tanpa meyakini ia telah terkena ain najis. Lebih-lebih lagi telah dinyatakan bahawa anjing tersebut tidak memasuki ke dalam bilik homestay berkenaan sebagaimana yang dinyatakan oleh tuan punya anjing.
2. Apabila yakin cadar atau kemudahan di dalam bilik tersebut terkena ain najis mughalazah, maka ia wajib disertu. Seandainya ragu-ragu atau tidak pasti, maka tidak wajib disertu.
3. Tidak perlu sertu semula cadar dan mesin basuh tersebut kerana pada asalnya cadar tersebut tidak bernajis atas sebab perasaan was-was dan tidak pasti wujudnya najis.
4. Pakaian yang terkena percikan air semasa melakukan sertu ke atas cadar tersebut juga tidak perlu disertu kerana pada asalnya cadar tersebut tidak bernajis.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.