BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum w.b.t,

Walaupun saya tahu kiraan tempoh dan perbezaan warna, tapi saya keliru antara haid dan istihadah sekarang kerana saya baru sahaja didatangi darah (9 Oktober 2022), setelah 9 bulan setengah tidak didatangi haid, mungkin kerana suntikan perancang.

Akhir haid : Minggu akhir Disember 2021 (saya lupa tarikh)

Tempoh kebiasaan haid : 7-10 hari, setiap bulan wajib datang haid.

Suntik perancang 19/8/2021, 16/11/2021, 11/2/2022.

Haid tidak datang bermula Januari 2022 - September 2022.

Hari ini, 9 Oktober 2022, jam 12 p.m. lebih  darah kembali ada tapi warnanya sangat cair tapi ada lendir (sedikit) berwarna merah cili, bau juga tak kuat tidak seperti haid.

Jadi saya keliru sama ada ini adalah darah haid atau istihadah. Saya mohon pencerahan dan bantuan sebab tak pernah alami begini. Terima kasih

 

 

 

 

 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, syarat menentukan darah yang keluar itu darah haid adalah tempoh keluar darah itu hendaklah sekurang-kurangnya sehari semalam atau bersamaan 24 jam. Jika darah itu keluar kurang daripada tempoh tersebut, maka darah itu dianggap sebagai darah fasad atau istihadah. Cara darah itu keluar boleh berlaku sama ada secara bersambung atau terputus-putus selama mana ia keluar dalam tempoh 15 hari, yakni tempoh maksimum keluar haid, dan keluarnya itu adalah dalam waktu kebiasaan haid (bukan waktu suci). 

Oleh itu, puan hendaklah menunggu sama ada syarat sekurang-kurang tempoh darah keluar selama 24 jam itu dipenuhi atau tidak. Kaedah fiqh mengatakan bahawa darah yang keluar dari rahim wanita yang boleh dianggap sebagai haid, maka ia adalah darah haid. Ini bermakna, sebaik sahaja puan melihat darah keluar, puan hendaklah mengganggap diri puan sebagai tidak suci dan berhenti dari menunaikan solat. Namun apabila ternyata didapati bahawa darah tersebut tidak mencukupi syarat 24 jam, maka ia bukannya darah haid, sebaliknya ia adalah darah istihadhah. Justeru puan perlu mengqada' solat yang ditinggalkan.   

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 238

message user image