BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Semasa awal perkhidmatan saya dengan kerajaan, saya ada beberapa kali membuat tuntutan perjalanan yang melebihi kadar yang sepatutnya. Sekarang ini saya sudah pencen dan sudah insaf atas perbuatan saya itu. Saya berniat untuk membayar semula kepada organisasi akan lebihan tuntutan perjalanan tersebut dengan memasukkan amaun tersebut ke dalam akaun organisasi tanpa memberitahu pihak organisasi. Bolehkah saya berbuat demikian? Sekian, terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.

Juga Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.

Ayat-ayat tersebut merupakan suruhan Allah SWT kepada hambanya untuk mencari rezeki daripada sumber yang terbaik lagi halal. Tuntutan supaya berwaspada dan berhati-hati dalam mencari rezeki adalah amat penting kerana ia adalah zat yang akan bersatu menjadi darah daging manusia itu.

Seterusnya, perbuatan yang dilakukan oleh tuan semasa perkhidmatan adalah sesuatu maksiat yang jelas salah dan perlu bertaubat.

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat, iaitu:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat.
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
  • Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya - dalam konteks ini adalah tempat tuan bekerja).

Hasrat tuan untuk mengembalikan lebihan tuntutan itu adalah tindakan yang wajar dan semoga Allah mengampunkan kesilapan lalu yang dilakukan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 148

message user image