BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalam.

Saya mempunyai beberapa soalan yg ingin diajukan.

1. Apakah hukum menghisap dan menjual ganja? Serta hasil duit tersebut jika digunakan untuk sumber makanan, susu anak-anak?

2. Bolehkah seorang cucu menggantikan puasa untuk arwah neneknya bagi menyelesaikan fidyahnya?

Terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Soalan Pertama:

Sebelum menjawab persoalan berkaitan menghisap ganja dan menjual ganja maka kita perlu mengetahui dengan jelas kedudukan hukum ganja itu terlebih dahulu. Para ulama' telah memutuskan bahawa penyalahgunaan ganja adalah haram dalam Islam. Pengharaman penyalahgunaan ganja adalah berasakan kepada kaedah qiyas dalam penetapan hukum. Ia diqiyaskan dengan pengharaman arak. Arak diharamkan kerana sifatnya yang memabukkan dan merosakkan diri jasmani dan akal manusia. Ia juga dianggap kotor dan keji seperti dalam al-Qur’an seperti disebutkan dalam al-Quran dalam Surah Al-Ma’idah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وكُلُّ مُسْكِرٍ حَرامٌ

Maksudnya: Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram . (Riwayat al-Bukhari dan  Muslim).

Dari sudut perundangan pula, kerajaan Malaysia telah mengklasifikasikan ganja sebagai dadah yang diharamkan. Oleh itu, sebarang aktiviti yang melibatkan ganja sama ada menghisap atau menjualnya adalah dilarang dari sudut undang-undang dan diharamkan dari sudut hukum syarak. Menggunakan hasil jualan ganja untuk memberi makanan atau nafkah kepada keluarga bermakna memberi mereka makanan atau nafkah dari hasil yang haram.

Soalan Kedua:

terdapat dua keadaan puasa mereka yang telah meninggal dunia iaitu

Keadaan Pertama: Sekiranya seseorang itu tidak mampu mengqadha' puasanya kerana keuzurannya yang berterusan sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan atau keadaan-keadaan lain yang diharuskan oleh syarak. Maka tidak wajib ke atasnya sesuatupun dan juga  pihak walinya (saudara terdekat) kerana telah gugur hukum berpuasa baginya sejak dia masih hidup.

Keadaan Kedua: Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa ke atasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya? Jawab Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan. (Riwayat Abu Daud)

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut

Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.

Memandangkan, cucu merupakan waris kepada si mati, ini bermakna seorang cucu boleh mennggantikan puasa arwah nenek dan dengan demikian fidyah tidak perlu dibayar. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 190

message user image