Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukumnya jika saya (beragama islam) membeli rumah dan membuat pinjaman (join loan) dengan adik yang bukan beragama islam? Bagaimana pembahagian harta rumah tersebut sekiranya saya meninggal dunia?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam Islam sekalipun faktor akidah menjadi sempadan dalam kelayakan pindahmilik dengan pusaka, ia tidaklah menafikan daripada melakukan alternatif lain bagi memindahmilik harta kepada waris yang bukan Islam. Ini kerana Islam tidak menafikan hubungan biologi yang wujud di antara mereka yang berhubungan darah dan tanggungjawab kewangan ke atas mereka. Bagi melaksana tuntutan hak dan kewajipan ke atas waris tanggungan ini, selain penguatkuasaan undang-undang, pewaris harus melakukan wasiat atau memberikan sebahagian harta tertentu kepada warisnya yang bukan Islam, seperti melakukan pemberian (hibah) atau wakaf. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT : Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah : 8) Sistem perundangan di Malaysia juga tidak menyekat seorang muslim daripada memberi wasiat kepada orang bukan Islam. Dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, seksyen 7 menyatakan syarat benefisiari adalah: Seseorang benefisiari wasiat itu hendaklah seseorang yang – (a) Diketahui; (b) Mempunyai kelayakan untuk memiliki harta yang diwasiatkan; dan (c) Jika ditentukan, dia hendaklah wujud ketika wasiat dibuat dan jika tidak ditentukan, benefisiari tidak disyaratkan wujud sama ada ketika wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat itu mati. Tetapi Mahkamah Syariah amat menitikberatkan tentang bahagian yang boleh diwasiatkan itu. Ia tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta si mati. Mungkin kekeliruan mengenai orang bukan Islam tidak dapat mewarisi daripada orang Islam ialah kerasa waris bukan Islam tidak diberi secara automatik bahagian harta pusaka di bawah sistem faraid. Sistem faraid dan pemberian harta secara wasiat adalah dua perkara yang berasingan. Oleh kerana adik yang bukan Islam tidak diberi bahagian di bawah sistem faraid, maka perlulah wasiat dibuat untuk memberikan mereka harta pusaka melalui wasiat. Tuan bolehlah mewasiatkan satu pertiga daripada harta kepada adik tersebut. 1. Hukumnya harus. Rumah hak milik bersama dengan adik bukan Islam adalah berdasarkan jumlah pinjaman bahagian masing-masing. 2. Pembahagiannya, setelah dibuat pembahagian dengan adik tersebut, maka bahagian tuan barulah difaraidkan (bahagian orang Islam). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.