BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. 

Soalan saya mengenai Solat jamak dan qasar serta Solat tamam.. 

Jika kita melakukan perjalanan melebihi 2 marhalah dan kita dibolehkan untuk melakukan Solat jamak dan qasar dalam tempoh yang Ditetapkan. 

Soalan saya, bolehlakah kita campurkan Solat jamak dan qasar bersama Solat sempurna (tamam)

Contohnya hari Pertama kita jamakan solat zohor dan asar manakala magrib dan isya kita buat secara tamam.

Hari kedua pula kita buat zohor dan asar secara tamam dan magrib dan isya kita jamakan.

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Merujuk kepada persoalan, permusafiran yang melebihi dua marhalah (81 KM) dengan tujuan yang diharuskan menurut Hukum Syarak maka diharuskan baginya untuk solat secara jamak dan qasar. Secara asasnya, jamak adalah mengumpulkan solat Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak, manakala qasar adalah mengurangkan bilangan rakaat bagi solat yang asalnya empat rakaat menjadi dua rakaat. Jamak takdim adalah mengumpulkan dua solat dalam waktu yang pertama, manakala jamak takhir adalah mengumpulkan solat dalam waktu yang kedua. Hadis riwayat Abu Juhaifah RA;

 خَرَجَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بالهَاجِرَةِ، فَصَلَّى بالبَطْحَاءِ الظُّهْرَ والعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ، ونَصَبَ بيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةً وتَوَضَّأَ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَتَمَسَّحُونَ بوَضُوئِهِ

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW keluar pada waktu tengahari untuk bermusafir, baginda solat Zohor dan Asar dua rakaat (jamak dan qasar) di Bathaa', dan baginda mencacakkan tongkat di hadapan baginda (sebagai sutrah) lantas berwuduk, lalu manusia berebut mendapatkan sisa wuduk baginda (mengambil barakah).

(Riwayat al-Bukhari) 

Adapun berkenaan solat tamam pula adalah solat yang dilakukan secara sempurna mengikut waktu dan bilangan rakaatnya. Ia tidak dilaksanakan secara menghimpunkan antara dua solat fardhu dan tidak pula mengurangkan bilangan rakaat asalnya.

Berikutan itu, perlu difahami bahawasanya tujuan bagi jamak dan qasar adalah sebagai rukhsah (keringanan) yang disyariatkan dalam Islam. Islam meletakkan rukhsah sebagai pemudah cara bagi umat Islam dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dan ia juga sebagai tanda kasih daripada Allah SWT. Maka disimpulkan bahawa perbuatan menggilirkan solat secara jamak dan qasar bersama solat secara tamam adalah sah selagi dilaksakan dalam tempoh permusafiran yang ditetapkan iaitu kurang daripada 4 hari dan tidak termasuk perjalanan pergi dan pulang.

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 167

message user image